BATU KAWAN, 25 APRIL: Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengemukakan cadangan kepada Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), untuk meneliti mekanisme penurunan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel sebagai langkah membantu meringankan beban rakyat susulan peningkatan kos bahan api.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata perkara itu selaras dengan usaha kerajaan meneliti pendekatan lebih menyeluruh, bagi membantu pemilik kenderaan diesel yang terkesan dengan perubahan harga bahan api.
Beliau berkata ketika ini, harga diesel ditetapkan secara terapung bagi memastikan ketelusan pasaran dan mengelakkan ketirisan serta aktiviti penyeludupan.
“Dasar kita menetapkan harga diesel secara terapung, kecuali kepada kumpulan yang menerima subsidi kerana kalau kita tidak meletakkan harga pasaran kepada diesel ini akan menyebabkan lagi banyak penyeludupan.
“Bagi membantu pemilik-pemilik kenderaan diesel ini, pertamanya sekarang kita ada BUDI Diesel individu sehingga RM400 sebulan dan untuk pemilik bas, lori dan sebagainya mereka juga terima subsidi melalui penggunaan kad fleet.
”Jadi, pemilik-pemilik kenderaan yang tak dapat bantuan ataupun subsidi ini, kita akan lihat bagaimana bantu mereka dari segi mengurangkan cukai jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di pekarangan Stadium Negeri, di sini hari ini.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Aplikasi Pintar JPJ (MyJPJ) versi baharu, sebagai platform bersepadu yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan jabatan dalam satu aplikasi pintar yang lebih moden, pantas dan mesra pengguna selain Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dipilih sebagai Ikon Keselamatan Jalan Raya.
Loke berkata kajian lanjut kini sedang dilaksanakan, bagi menilai implikasi pelaksanaan cadangan tersebut, termasuk kadar penurunan yang bersesuaian serta kesannya terhadap hasil kerajaan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Terdahulu Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis itu berkata kerajaan mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel dalam tempoh terdekat, sebagai langkah mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga bahan api tersebut.
Anwar berkata pihaknya meminta MOT untuk mencari mekanisme bersesuaian bagi melaksanakan pengurangan berkenaan, mengambil kira kesan peningkatan harga diesel terhadap sebahagian pengguna, khususnya dalam sektor yang masih bergantung kepada kenderaan diesel.








