Kerajaan pertimbang turunkan cukai jalan kenderaan diesel - PM

25 Apr 2026, 6:25 AM
Kerajaan pertimbang turunkan cukai jalan kenderaan diesel - PM

BATU KAWAN, 25 APRIL: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel dalam tempoh terdekat sebagai langkah mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga bahan api tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meminta Kementerian Pengangkutan untuk mencari mekanisme bersesuaian bagi melaksanakan pengurangan itu dengan mengambil kira kesan kenaikan harga diesel terhadap pengguna, khususnya dalam sektor yang masih bergantung kepada kenderaan diesel.

“Turunkan harga minyak (diesel) sekarang ini tidak mampu tetapi cukai jalan itu boleh (dikurangkan) dan terdapat sebanyak 1.8 juta kenderaan diesel di Malaysia.

“(Jumlah) masih kecil ketimbang keseluruhannya tetapi bagi 1.8 juta kenderaan ini ada masalah kerana harga diesel naik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di Pekarangan Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abdul Bakar dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan kekal dengan dasar penyasaran subsidi bagi petrol RON95 menerusi Program Budi MADANI (BUDI95) dengan tanggungan subsidi bahan api kini mencecah kira-kira RM7 bilion sebulan.

Beliau berkata keutamaan kerajaan ketika ini bukan hanya tertumpu kepada harga bahan api, sebaliknya turut memastikan bekalan kekal mencukupi susulan krisis bekalan global.

Sementara itu, Anwar menegaskan Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan semua negara bagi melindungi kepentingan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global ketika ini.

Perdana Menteri berkata dasar luar Malaysia yang bebas dan berdaulat membolehkan negara menjalinkan kerjasama dengan pelbagai kuasa dunia termasuk Amerika Syarikat, China serta negara di Asia Barat walaupun berlaku konflik di beberapa wilayah.

“Kita (Malaysia) tidak campur dari segi ketenteraan, tidak campur sehingga menjejaskan hubungan baik kita, tetapi kita sebagai negara bebas dan berdaulat mesti bersuara kalau ada jenayah besar terhadap mana-mana negara, seperti sikap satu negara umpamanya Israel mengambil keputusan bom sekolah,” katanya.

Anwar juga menjelaskan hubungan diplomatik yang baik membantu Malaysia menangani situasi konflik antarabangsa, khususnya di Asia Barat termasuk memastikan kelancaran laluan kapal tangki minyak negara di kawasan strategik seperti Selat Hormuz.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619