SHAH ALAM, 25 APRIL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor mempersoalkan pendirian Ketua Pemuda PAS negeri itu yang didakwa berdiam diri dalam isu penghinaan terhadap Sultan Selangor sebelum ini, tetapi kini lantang dalam polemik melibatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan.
Ketua Penerangannya, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian Mohamed Shukri Omar, khususnya dalam isu berkaitan institusi diraja.
“Namun kerancakkan itu hampir tidak wujud ketika Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghina Tuanku Sultan Selangor. Suara Shukri Omar dan barisan pemudanya terus bungkam, menikus dan seolah-olah penghinaan itu bukan satu penderhakaan.
“Sultan Selangor ketika itu amat murka sehingga Ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis dan krisis berlarutan sehinggalah Sanusi memohon ampun dan dilepaskan pada tahun 2024.
“Adakah beliau koma otak waktu itu sehingga hilang segala kependekaran dan kepandiran beliau hanya kerana penghinaan tersebut dilakukan oleh pemimpin mereka?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saifuddin, Pemuda PAS Selangor kini dilihat bertindak pantas dengan membuat laporan polis serta mendesak tindakan terhadap Wong Siew Ki, walaupun kenyataannya mengenai penternakan babi moden dibuat dalam ruang perbahasan Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Namun kali ini Pemuda PAS Selangor lain pula pencaknya, mereka segera bangun berpolemik dan berpolitik. Sehingga siang tadi tidak kurang 10 laporan polis telah dibuat dan mereka mendesak YB Siew Ki ditangkap.
“Tidakkah YB Siew Ki hanya menggunakan ruangnya dengan penuh hormat sebagai ADN dalam Sidang Dewan Negeri yang jelas fungsi keberadaannya?” katanya.
Saifuddin turut mendakwa tindakan tersebut bermotifkan politik serta mencerminkan kegagalan pembangkang mengemukakan idea lebih konstruktif dalam mengkritik pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Akhirnya berapa banyak peluang membahaskan perkara yang penting untuk kebajikan rakyat terlepas begitu sahaja, kerana kita sering tersepit dalam perlumbaan menunjukkan siapa yang setia dan siapa yang derhaka pada konteks yang salah?
“Paling rugi adalah rakyat yang mengharapkan ahli politik meletakkan pertimbangan wajar dan memberikan keutamaan terutama ketika dunia berdepan krisis tenaga terburuk dalam beberapa dekad yang kemudian akan menjerumuskan kita dalam kemelesetan ekonomi yang lebih menekan sedikit masa lagi,” ujarnya.
Sebelum ini, Siew Ki ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
Beliau berkata cadangan itu mengambil kira prinsip kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.








