ADN cadang sistem pintar pantau kutipan sampah

23 Apr 2026, 11:00 AM
ADN cadang sistem pintar pantau kutipan sampah

SHAH ALAM, 23 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning mencadangkan KDEB Waste Management (KDEBWM) melaksanakan sistem pengurusan sisa pintar bagi memastikan jadual kutipan sampah lebih cekap dan teratur.

S. Preakas berkata penggunaan sistem itu membolehkan pemantauan pergerakan lori secara masa nyata, selain mengesan kegagalan kutipan dengan lebih cepat.

Menurutnya, isu kutipan sampah terus menjadi antara aduan utama penduduk dan keadaan itu tidak wajar kerana rakyat berhak menerima perkhidmatan yang setimpal dengan bayaran cukai taksiran.

"Dengan adanya sistem dilengkapi dengan alat pengesan dan penjejak, pihak berkuasa tempatan juga boleh memantau pergerakan lori.

"Kita perlukan akauntabiliti digital dan jika gagal, penalti mesti dikenakan serta-merta tanpa kompromi dan kontraktor boleh ditamatkan perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan Reformasi Sistem Tadbir Urus (RSTU) melibatkan PBT digerakkan secara pantas bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan lebih cekap dan berkesan.

Sultan Selangor bertitah langkah itu penting memandangkan PBT merupakan agensi barisan hadapan yang berurusan secara terus dengan rakyat serta memberi kesan kepada kehidupan harian mereka.

Baginda turut menyentuh isu kebersihan melibatkan perkhidmatan mengangkut sampah yang dilihat tidak dapat diatasi secara berkesan oleh Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak Kerajaan Negeri tidak membenarkan sebarang pembangunan dilaksanakan berdekatan jajaran gas tanpa zon penampan yang mencukupi.

"Impak letupan di Putra Heights tahun lalu mencecah radius lebih satu kilometer, ini bukan perkara remeh. Selain itu, saya mohon Kerajaan Negeri selesaikan isu bayaran sewaan dengan segera," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619