Parlimen Asia disaran wujud mekanisme tetap, sokong perjuangan Palestin

23 Apr 2026, 8:23 AM
Parlimen Asia disaran wujud mekanisme tetap, sokong perjuangan Palestin
Parlimen Asia disaran wujud mekanisme tetap, sokong perjuangan Palestin
Parlimen Asia disaran wujud mekanisme tetap, sokong perjuangan Palestin

BRUSSELS, 23 APRIL: Mekanisme operasi tetap dalam kalangan Parlimen Asia wajar diwujudkan bagi membolehkan tindakan lebih pantas, terselaras dan berterusan dalam menyokong perjuangan Palestin, kata Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau berkata walaupun sokongan terhadap Palestin di seluruh Asia kekal kukuh, kekurangan penyelarasan masih menjadi kekangan utama kepada respons kolektif yang berkesan, khususnya ketika krisis.

Berucap pada Kongres Parlimen Global Sumud sulung di sini semalam, Syed Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menegaskan bahawa usaha sedia ada seperti resolusi, lawatan dua hala dan tindakan simbolik, meskipun penting, masih tidak mencukupi tanpa mekanisme tersusun untuk mengekalkan tekanan.

“Semua ini penting, namun tidak memadai. Justeru, kita memerlukan mekanisme operasi tetap yang membolehkan ahli parlimen Asia menyelaras pendirian dengan pantas, bertindak secara kolektif ketika krisis dan mengekalkan tekanan melangkaui tumpuan media,” katanya sebagai ahli panel pada kongres itu.

Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga pendekatan bagi memperkukuh kerjasama dalam kalangan ahli parlimen Asia, bermula dengan pendekatan institusi berteraskan platform sedia ada seperti ASEAN, Kesatuan Parlimen Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

“Pakatan parlimen rentas wilayah di Asia tidak perlu dibina dari awal. Kita boleh memperkukuhnya melalui platform sedia ada,” katanya sambil mencadangkan penubuhan kaukus khusus Asia-Pasifik bagi Palestin dengan kepimpinan bergilir serta penyelarasan usul parlimen.

Syed Ibrahim turut mencadangkan pembentukan “gabungan negara yang bersedia”, iaitu blok kecil parlimen sehaluan yang mampu bertindak segera tanpa perlu menunggu konsensus penuh.

“Kita tidak boleh menunggu konsensus multilateral sepenuhnya kerana rakyat Gaza tidak mempunyai masa sebegitu. Blok sukarela ini boleh bergerak pantas, bersuara dengan satu nada dan menjadi pemangkin kepada negara Asia lain,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan keperluan beralih kepada pendekatan berasaskan fungsi dengan menggesa pakatan dibina berteraskan misi konkrit seperti koridor maritim kemanusiaan ke Gaza.

“Sebarang koridor maritim kemanusiaan ke Gaza akhirnya perlu melalui atau disokong dari perairan Indo-Pasifik. Faktor geografi ini menjadikan ahli parlimen Asia-Pasifik sebagai pemegang taruh operasi, bukan sekadar peserta simbolik,” katanya.

Sementara itu, Syed Ibrahim turut menegaskan pendirian Malaysia terhadap Palestin yang kekal tegas dan konsisten merentasi pentadbiran, mencerminkan konsensus nasional berteraskan prinsip keadilan dan kemanusiaan.

“Tujuh dekad kepimpinan Malaysia bersuara dengan satu pendirian yang padu,” katanya, sambil menambah pendirian itu bermula sejak kepimpinan awal negara dan berterusan hingga kini.

Beliau berkata sokongan Malaysia terhadap Palestin melangkaui perbezaan politik, dengan penglibatan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta pertubuhan masyarakat sivil, sekali gus mencerminkan komitmen nasional yang menyeluruh.

“Ini bukan soal satu kerajaan atau satu pihak. Ia adalah pendirian bersama Malaysia yang telah diamalkan sejak sekian lama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Sani Araby menyambut baik cadangan dikemukakan Syed Ibrahim yang disifatkannya tepat pada masanya dan perlu bagi memperkukuh intervensi antarabangsa dalam menyokong Palestin.

Beliau berkata penekanan terhadap mekanisme operasi dan penyelarasan pantas mencerminkan realiti di lapangan, yang mana keperluan kemanusiaan, khususnya di Gaza, memerlukan respons segera dan berterusan.

Sani berkata pertubuhan masyarakat sivil juga memainkan peranan penting dalam melengkapi usaha parlimen, terutama dalam menggerakkan bantuan kemanusiaan dan mengekalkan kesedaran global.

“Pendekatan berasaskan fungsi amat selari dengan peranan kami, khususnya dalam misi seperti flotila kemanusiaan dan laluan bantuan yang memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan dan masyarakat sivil,” katanya.

Beliau berkata Malaysia menerusi inisiatif seperti rangkaian Sumud Nusantara bersedia menyokong usaha berkenaan dengan memperkukuh kerjasama serantau serta memastikan bantuan disalurkan secara berkesan kepada pihak yang memerlukan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619