SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan penempatan semula tapak pembinaan Kuil Sri Maha Mariamman dari Taman Dato’ Harun ke Taman Medan, Petaling Jaya, susulan bantahan penduduk setempat.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS), V Papparaidu berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 5 Mac lepas.
“Pihak Berkuasa Negeri telah mengambil kira terhadap bantahan yang telah dikemukakan oleh penduduk sekitar berhubung lokasi penempatan semula kuil ini.
“Hasil keputusan MMKN Mei lepas, Kerajaan Negeri bersetuju untuk mempertimbangkan penempatan semula tapak Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) bagi Persatuan Penganut Sri Maha Mariamman Desa Perangsang daripada Taman Dato’ Harun (Lot 76417) ke PJS 3 Taman Medan (Lot 64015),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Taman Medan Afif Bahardin berhubung status terkini bantahan terhadap kelulusan tapak RIBI kuil berkenaan pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Papparaidu memaklumkan permohonan penempatan ke lokasi baharu di Taman Medan adalah tertakluk kepada kelulusan kebenaran merancang oleh pihak berkuasa tempatan.
Sebelum ini, media melaporkan penduduk Taman Dato’ Harun pada Februari lalu berhimpun bagi membantah pembinaan kuil Hindu di kawasan itu, dengan alasan komposisi demografi penduduk serta isu trafik.








