Iran sedia dedah strategi baharu jika serangan berterusan

21 Apr 2026, 1:12 PM
Iran sedia dedah strategi baharu jika serangan berterusan

TEHRAN, 21 APRIL: Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata negaranya bersedia untuk mendedahkan strategi atau “kad baharu” di medan tempur sekiranya Amerika Syarikat (AS) dan Israel meneruskan serangan mereka.

Agensi berita Mehr (MNA) melaporkan Ghalibaf menerusi hantaran di laman X pada awal pagi Selasa, membidas Presiden AS Donald Trump yang didakwanya bertindak berdasarkan khayalan semata-mata.

Kenyataan beliau itu dibuat sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata yang berterusan oleh AS, susulan perjanjian yang dicapai dua minggu lepas. Ini termasuk tindakan sekatan maritim serta serangan ke atas kapal dagang Iran di Laut Oman pada Ahad.

"Trump, dengan mengenakan sekatan dan melanggar gencatan senjata, mahu - dalam khayalannya sendiri - mengubah meja rundingan menjadi meja penyerahan kalah atau untuk mewajarkan tindakan mencetuskan peperangan semula," kata penggubal undang-undang tertinggi merangkap ketua perunding itu.

Ghalibaf menegaskan bahawa taktik tekanan tidak akan membuahkan hasil di meja rundingan.

"Kami tidak menerima rundingan di bawah bayang-bayang ancaman. Sepanjang dua minggu lepas, kami telah mempersiapkan diri untuk mendedahkan kad baharu di medan peperangan," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika pusingan rundingan seterusnya antara Tehran dan Washington kini diselubungi ketidaktentuan susulan pencerobohan terbaharu tentera laut AS di laut.

Tentera Laut AS dilaporkan melanggar gencatan senjata dengan menyasarkan sebuah kapal dagang Iran di Laut Oman.

Tentera Iran menyifatkan insiden berkenaan sebagai pelanggaran etika maritim.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619