Wong Chen dibidas tidak guna FOI isu tanah dekat Hutan Simpan Ayer Hitam

20 Apr 2026, 1:43 PM
Wong Chen dibidas tidak guna FOI isu tanah dekat Hutan Simpan Ayer Hitam

SHAH ALAM, 20 APRIL: Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang tidak menggunakan saluran Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) dalam isu tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Bryan Ng Yih Miin berkata pendekatan seperti menghantar surat tidak rasmi dan mengadakan sidang media tidak mewujudkan sebarang kewajipan undang-undang kepada mana-mana pihak untuk memberikan maklum balas.

Menurut beliau, Selangor mempunyai Enakmen FOI berkuat kuasa sejak 2013, yang memberikan hak kepada mana-mana individu untuk memohon maklumat daripada Kerajaan Negeri, dengan permohonan itu perlu dijawab dalam tempoh 30 hari.

“Ini bukan suatu kealpaan. YB Wong Chen ialah Ahli Parlimen tiga penggal berturut-turut. Beliau adalah seorang peguam terlatih dengan pengalaman lebih dua dekad dalam amalan undang-undang korporat.

“Beliau antara Ahli Parlimen yang paling fasih dari segi undang-undang dan institusi di Parlimen Malaysia. Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2011 telah berkuat kuasa sejak 2013," katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Bryan Ng Yih Miin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Wong Chen yang mengkritik Kerajaan Negeri kerana didakwa gagal memberikan maklum balas terhadap beberapa surat berhubung penjualan kira-kira 68.4 hektar tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam.

Wong Chen mendakwa tiga surat rasmi telah dihantar sejak Disember tahun lalu bagi mendapatkan penjelasan mengenai pembangunan di kawasan tersebut, namun masih belum menerima sebarang jawapan rasmi.

Mengulas lanjut, Bryan berkata di bawah enakmen itu, pemohon tidak perlu menyatakan sebarang sebab bagi mendapatkan maklumat dan permohonan perlu dijawab dalam tempoh 30 hari.

“Sekiranya YB Wong Chen mendapati penjelasan itu tidak mencukupi, mekanisme FOI adalah jalan yang betul untuk menuntut maklumat lebih terperinci, bukan sidang media yang keempat,” katanya.

Tambah beliau, penjelasan awal berhubung status tanah berkenaan juga telah diberikan oleh Kerajaan Negeri dan boleh diakses secara umum.

“EXCO (Alam Sekitar) Jamaliah Jamaluddin telah pun memberikan penjelasan awal sejak Disember 2025 bahawa tanah tersebut telah dinyahwarta daripada Hutan Simpan Ayer Hitam sejak 1926 dan bukan lagi hutan simpan kekal.

"Malah tiada permohonan pembangunan yang diterima oleh pihak berkuasa tempatan (Majlis Bandaraya Subang Jaya) setakat ini. Maklumat ini tersedia secara awam," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619