NHMS: Hanya 14.7 peratus capai penuaan sihat, majoriti berdepan penyakit kronik

20 Apr 2026, 6:22 AM
NHMS: Hanya 14.7 peratus capai penuaan sihat, majoriti berdepan penyakit kronik

SHAH ALAM, 20 APRIL: Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2026 yang memfokuskan warga emas menjadi amaran jelas terhadap cabaran kesihatan negara, sekali gus menggesa tindakan segera merangka dasar lebih inklusif dan mampan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan laporan itu bukan sekadar angka statistik, sebaliknya mencerminkan realiti sebenar tahap kesihatan warga emas di Malaysia, lapor Astro Awani.

Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2036, sekali gus menuntut persediaan menyeluruh bagi memastikan sistem kesihatan kekal berdaya tahan.

Menurut beliau, data NHMS 2026 berperanan sebagai panduan strategik dalam merangka intervensi kesihatan yang lebih tepat dan berkesan.

“Ini bukan sekadar laporan, tetapi gambaran sebenar kesihatan warga emas. Data ini menjadi kompas dalam menentukan tindakan,” katanya.

NHMS 2026 mendedahkan hanya 14.7 peratus warga emas mencapai tahap penuaan sejahtera, merangkumi aspek sosial, kognitif, psikologi, fizikal dan kesihatan keseluruhan.

Beban penyakit tidak berjangkit juga berada pada tahap membimbangkan, dengan 73 peratus menghidap hipertensi, 76 peratus kolesterol tinggi dan 39 peratus diabetes.

Selain itu, 68 peratus warga emas menghidap sekurang-kurangnya dua penyakit tidak berjangkit, manakala 30 peratus lagi berdepan tiga penyakit utama secara serentak.

Dari sudut fizikal, 30.6 peratus didapati tidak aktif, 45 peratus mengalami sarkopenia dan 60 peratus berisiko mengalami kerapuhan fizikal.

Situasi ini memberi kesan besar terhadap kualiti hidup serta meningkatkan kebergantungan sekiranya tidak ditangani segera.

“Cabaran kita bukan sekadar penyakit, tetapi memastikan warga emas terus hidup bermaruah, aktif dan tidak terpinggir,” katanya.

NHMS 2026 turut mendedahkan cabaran sistemik apabila populasi warga emas kini mencecah 4.1 juta, dengan 18.8 peratus tinggal bersendirian, selain isu mobiliti dan pengangkutan menjadi halangan utama mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan komited memperkukuh penjagaan warga emas melalui peluasan perkhidmatan kesihatan ke rumah, penggunaan teknologi digital serta peningkatan kepakaran geriatrik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619