SHAH ALAM, 20 APRIL: Kerajaan menegaskan data Pangkalan Data Utama (Padu) tidak akan dijual kepada pasaran terbuka, sebaliknya kekal untuk kegunaan kerajaan dan perkhidmatan awam.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Padu akan terus berfungsi sebagai platform sokongan utama dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, lapor Kosmo!.
Menurut beliau, tumpuan utama ketika ini adalah membantu agensi dalam proses verifikasi dan analisis data, bukan sebagai sumber penjanaan hasil.
“Saya tidak melihat keperluan untuk mengkomersialkan data Padu kerana fokusnya adalah untuk memperkukuh perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata Padu juga akan terus memainkan peranan sebagai sistem penghubung data merentas pelbagai agensi bagi memperkemas operasi dan penyelarasan maklumat.
Mengulas kos pembangunan sebanyak RM85 juta, Akmal menegaskan perbelanjaan tersebut tidak sia-sia memandangkan platform itu kini mempunyai pelbagai fungsi strategik.
Katanya, Padu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengoptimumkan keupayaan sedia ada agar setiap perkhidmatan yang dibangunkan benar-benar memberi nilai tambah kepada operasi agensi terlibat.







