ADN Dusun Tua tumpu pelancongan, infrastruktur di Sidang DUN

19 Apr 2026, 10:00 AM
ADN Dusun Tua tumpu pelancongan, infrastruktur di Sidang DUN

SHAH ALAM, 19 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz akan membawa pelan promosi pelancongan serta isu infrastruktur ke Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bermula esok.

Beliau berkata keutamaan pada tahun ini adalah memperkenalkan Dusun Tua sebagai hab pelancongan yang berpotensi tinggi dan memiliki pelbagai tarikan menarik di negeri ini.

Menurutnya, kawasan tersebut sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri yang masih belum diketahui ramai, meskipun lokasinya berhampiran Kuala Lumpur.

“Ramai yang tidak tahu bahawa Dusun Tua mempunyai pelbagai destinasi pelancongan menarik seperti Sungai Congkak, kolam air panas serta Gunung Nuang yang lokasinya berhampiran Kuala Lumpur.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Bagi memperkukuh usaha ini, saya merancang menganjurkan program larian santai atau ‘Fun Run’ sebagai platform memperkenalkan kawasan tersebut kepada orang ramai.

“Program ini disasar dianjurkan sekitar Julai atau Ogos dengan sasaran penyertaan dari dalam dan luar negara. Namun, kita memerlukan sokongan Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan seperti Tourism Selangor bagi merealisasikannya,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, Johan menegaskan isu infrastruktur terus menjadi keutamaan, khususnya masalah perparitan dan banjir kilat yang sering berlaku di kawasan berkenaan.

“Selain itu, isu jalan raya dan sistem longkang yang memerlukan penambahbaikan termasuk kemudahan awam seperti pembinaan balai bomba. Perkara ini akan terus saya bangkitkan dalam sidang DNS,” katanya lagi.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan pembukaan Sidang DNS Pertama bagi Penggal Keempat 2026 yang bermula esok.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619