Delegasi Ahli Parlimen bakal sertai persidangan Brussels bantah kezaliman Israel

19 Apr 2026, 8:30 AM
Delegasi Ahli Parlimen bakal sertai persidangan Brussels bantah kezaliman Israel

KUALA LUMPUR 19 APRIL: Malaysia akan menghantar delegasi Ahli Parlimen rentas parti ke persidangan antarabangsa di Brussels, Belgium bagi menyatakan bantahan rasmi terhadap tindakan Parlimen Israel yang mengenakan hukuman gantung ke atas tahanan Palestin.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya telah menamakan dua wakil iaitu Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik untuk menyertai persidangan tersebut.

"Kita juga sedang menunggu nama-nama daripada parti lain. Secara keseluruhan, kita harapkan antara enam hingga lapan Ahli Parlimen akan menyertai konvensyen di Brussels itu nanti,” katanya selepas berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan 2026 KEADILAN Cabang Gombak hari ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan 2026 KEADILAN Cabang Gombak pada 19 April 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor berkata penyertaan wakil daripada pelbagai parti termasuk UMNO dan PAS akan menunjukkan kesepakatan jitu Malaysia dalam isu kemanusiaan sejagat, susulan keputusan Parlimen Israel mengenakan hukuman gantung tanpa ruang rayuan kepada tahanan Palestin.

"Saya percaya kesemua wakil ini akan membawa suara hati rakyat Malaysia yang sepakat menentang genosid serta sebarang bentuk kezaliman terhadap sahabat kita di Palestin," tambahnya.

Mengenai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, beliau memaklumkan misi bantuan kemanusiaan itu kini sedang menghampiri wilayah Sicily di Itali setelah berdepan kelewatan akibat faktor cuaca.

Amirudin yang juga Menteri Penaung misi itu menjelaskan beliau terpaksa pulang ke tanah air seketika bagi menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pasukan GSF 2.0 terkandas selama dua hari di Barcelona, Sepanyol susulan cuaca ribut.

"Mereka terpaksa berhenti untuk memastikan laluan angin bergerak dengan selamat. Insya-Allah, saya akan kembali ke sana untuk menyertai semula misi tersebut selepas sesi dewan selesai," katanya.

Beliau berkata misi tersebut akan melalui beberapa titik pemeriksaan (checkpoint) penting termasuk Greece, Istanbul dan Cyprus.

“Jadi saya ingin melihat laluan yang boleh saya ikuti bersama dan memastikan semua peserta berada dalam keadaan yang baik, sihat dan selamat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619