KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Seorang pegawai kanan dan dua anggota polis antara yang ditahan dalam serbuan di dua premis hiburan di Ipoh, Perak pada 5 April.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata dua anggota berpangkat koperal dan lans koperal berusia 26 dan 40 tahun bertugas di Johor manakala pegawai kanan itu di Perak.
“Koperal terbabit didapati positif ketamin manakala rakannya positif methamphetamine, amphetamine dan ketamin. Ujian ke atas pegawai kanan pula didapati negatif dadah.
“Tindakan ini membuktikan kita tidak berkompromi terhadap sebarang kesalahan termasuk yang melibatkan polis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata secara keseluruhannya, 59 lelaki dan 28 wanita ditahan dalam serbuan di Bandar Baru Medan Ipoh dan Taman Ipoh itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.








