SHAH ALAM, 17 APRIL: Tujuh pelajar sebuah sekolah menengah di Kajang dikenakan tindakan disiplin selepas dipercayai terlibat dalam kejadian buli lisan yang tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 47 saat yang memaparkan sekumpulan pelajar didakwa membuli secara lisan seorang pelajar perempuan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi semalam dan melibatkan tujuh pelajar daripada kelas berlainan.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut.
“Rakaman tidak menunjukkan berlakunya sentuhan fizikal atau interaksi lisan yang bersifat agresif.
“Pihak sekolah bersama pegawai polis yang merupakan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), telah mengadakan pertemuan dan libat urus bersama ibu bapa serta penjaga mangsa.
"Pihak sekolah juga telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap tujuh pelajar terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata polis akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan tiada sebarang bentuk perlakuan yang boleh menjejaskan kesejahteraan pelajar, termasuk penggunaan kata-kata yang berpotensi memberi kesan emosi.
Terdahulu, tular satu video memaparkan beberapa pelajar lelaki dan perempuan mengganggu seorang pelajar perempuan di dalam kelas sebuah sekolah menengah di Kajang.








