Kutipan sisa pepejal Selangor naik hampir 20 peratus sepanjang Syawal

17 Apr 2026, 2:05 PM
Kutipan sisa pepejal Selangor naik hampir 20 peratus sepanjang Syawal
Kutipan sisa pepejal Selangor naik hampir 20 peratus sepanjang Syawal

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kutipan sisa pepejal di Selangor meningkat hampir 20 peratus sepanjang Syawal, didorong penganjuran rumah terbuka.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata peningkatan tersebut direkodkan sejak awal Syawal dan berterusan hingga minggu terakhir perayaan itu.

“Berdasarkan data yang kita kumpulkan sepanjang tiga minggu dan kini memasuki minggu keempat, ada peningkatan hampir 15 ke 20 peratus,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, dengan anggaran kutipan harian sekitar 7,000 tan, peningkatan 10 peratus boleh mencecah tambahan kira-kira 700 tan sehari, terutama pada hujung minggu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang penganjuran rumah terbuka dengan lebih berhemah bagi mengurangkan pembaziran makanan dan penggunaan bahan pakai buang.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Kalau kita jemput 100 orang, kita rancanglah untuk masakkan 110 orang. Janganlah kita jemput 100 orang, kita masak sampai 200 orang nanti kita akan membazir.

"Bila kita membazir, makanan itu dah tak elok digunakan kita akan buang, sayang (lah),” katanya.

Selain itu, beliau turut menggalakkan penggunaan sistem pengesahan kehadiran seperti WhatsApp, Kod Respons Pantas (QR) atau aplikasi tertentu bagi membantu penganjur merancang jumlah makanan dengan lebih tepat.

Dalam masa sama, beliau berkata trend pelupusan sisa pukal seperti perabot lama turut meningkat apabila orang ramai mengambil kesempatan menukar barangan rumah sempena perayaan.

Katanya, keadaan itu menjadi cabaran kepada pihaknya kerana perlu menyediakan tambahan sumber bagi mengurus kutipan dan pelupusan dalam tempoh singkat, selain memenuhi permintaan tinggi orang ramai.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619