SHAH ALAM, 17 APRIL: Selangor sekali lagi mendahului negeri lain dengan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi RM131 juta bagi menghadapi krisis tenaga global.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia Danish Hairudin berkata inisiatif itu bukan sekadar reaksi, sebaliknya langkah awal yang tegas untuk melindungi kebajikan rakyat dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Keadilan Cabang Kota Raja berkata langkah tersebut membuktikan kepimpinan negeri bertindak pantas dan tersusun dalam mendepani krisis.
“Ini bukti jelas Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari proaktif dengan pendekatan menyeluruh termasuk penubuhan pasukan petugas khas serta pemantauan berkala,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Danish, pakej itu memberi fokus langsung kepada rakyat melalui beberapa inisiatif utama termasuk peruntukan RM50 juta bagi Gudang Makanan Selangor serta Baucar Kita Selangor RM100 sebulan kepada 50,000 penerima.
Selain itu, katanya, sebanyak RM25 juta disalurkan bagi membantu lebih 17,000 pengusaha sektor pertanian yang turut terkesan dengan kenaikan kos.
Beliau menegaskan langkah tersebut mencerminkan pemahaman Kerajaan Negeri terhadap kesan rantaian krisis tenaga terhadap harga makanan, inflasi dan kos sara hidup rakyat.
“Ini bukan sahaja langkah perlindungan jangka pendek, tetapi persediaan awal untuk memastikan Selangor kekal berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Tambahnya, usaha itu turut melibatkan penerokaan sumber tenaga alternatif serta kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi mengekalkan kestabilan ekonomi negeri.








