SHAH ALAM, 16 APRIL: Sektor pertanian terus kekal sebagai antara penyumbang utama ekonomi Selangor apabila mencatatkan nilai pendapatan sebanyak RM8.68 bilion.
Prestasi tersebut disifatkan memberangsangkan dari segi pendapatan, guna tenaga dan struktur aktiviti, sekali gus memperkukuh peranan sektor itu dalam pembangunan ekonomi negeri.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), subsektor tanaman muncul sebagai penyumbang terbesar dengan nilai RM4.30 bilion atau 49.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan sektor pertanian.
Ia diikuti subsektor ternakan yang merekodkan RM2.63 bilion (30.3 peratus) serta perikanan tangkapan sebanyak RM1.47 bilion (16.9 peratus).
“Tiga daerah utama iaitu Kuala Selangor (RM1.84 bilion), Sabak Bernam (RM1.82 bilion) dan Kuala Langat (RM1.47 bilion) dikenal pasti sebagai penyumbang tertinggi pendapatan sektor pertanian.
"Selain itu, bagi perbelanjaan, Kuala Selangor mencatatkan RM974.24 juta, diikuti Sabak Bernam (RM816.03 juta) dan Hulu Selangor (RM544.48 juta),” menurut kenyataan Laporan Banci Pertanian 2024: Selangor, hari ini.
DOSM memaklumkan, pegangan pertanian yang diusahakan oleh pertubuhan turut menguasai dengan menyumbang RM5.27 bilion iaitu 60 peratus daripada keseluruhan pendapatan berbanding pegangan individu yang merekodkan RM3.41 bilion (39.3%).
Dari segi guna tenaga, sektor pertanian Selangor merekodkan 70,058 pekerja pada 2023 dengan subsektor tanaman penyumbang utama melibatkan 49,168 pekerja manakala Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Kuala Langat terus mendominasi tenaga kerja sektor itu.
Selain itu, purata gaji dan upah tahunan sektor pertanian Selangor direkodkan RM21,534 dengan pegangan pertubuhan RM21,191 dan pegangan individu RM21,925 sekali gus mencerminkan sumbangan sektor itu dalam menjana pendapatan kepada rakyat.
Dalam pada itu, DOSM menyatakan dapatan tersebut menunjukkan sektor pertanian bukan sahaja penting kepada ekonomi negeri malah berperanan sebagai penyedia utama peluang pekerjaan kepada masyarakat di Selangor.












