Polis tumpas sindiket ganja RM13.68 juta, tahan tujuh individu

16 Apr 2026, 10:59 AM
Polis tumpas sindiket ganja RM13.68 juta, tahan tujuh individu

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja dan bunga ganja bernilai RM13.68 juta untuk pasaran dalam dan luar negara, menerusi penahanan tujuh individu dalam dua serbuan Ops Conops di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata semua suspek terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 28 hingga 43 tahun.

“Sebanyak 170.74 kilogram (kg) bunga ganja dan 7.04 kg ganja dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM13.68 juta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu dengan menjadikan kondominium di Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan serta antarabangsa.

“Modus operandi yang digunakan termasuk perkhidmatan e-hailing dan syarikat kurier untuk pasaran tempatan, selain penyeludupan ke luar negara menggunakan taktik keldai dadah menerusi bagasi,” katanya.

Dalam pada itu, Hussein berkata serbuan pertama di kawasan parkir dan sebuah unit kondominium di Putrajaya membawa kepada penahanan empat suspek serta rampasan 168 bungkusan bunga ganja dan dua bungkusan ganja.

Susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah teres di Setapak yang membawa kepada penahanan tiga lagi suspek bersama 33 bungkusan disyaki ganja seberat 3.35 kg serta satu bungkusan bunga ganja.

Beliau berkata hasil saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif pelbagai jenis dadah, manakala lima lagi mempunyai rekod lampau antara dua hingga 20 kes berkaitan jenayah dan dadah.

“Daripada keseluruhan tangkapan, lima suspek direman tujuh hari bermula 13 hingga 19 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Hussein berkata Ops Conops dilaksanakan susulan kejayaan Ops Langka yang sebelum ini dijalankan di Langkawi, Kuala Kedah dan Perlis bermula Khamis hingga Ahad lalu.

Dalam operasi itu, 191 individu ditahan menerusi 231 serbuan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619