Konflik AS-Iran: Pintu rundingan tutup tetapi tidak berkunci

18 Apr 2026, 3:11 AM
Konflik AS-Iran: Pintu rundingan tutup tetapi tidak berkunci
Konflik AS-Iran: Pintu rundingan tutup tetapi tidak berkunci

Oleh Helme Hanafi

Untuk menyimpulkannya supaya mudah difahami, rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran di Islamabad baru-baru ini berakhir seperti lagu Ayahanda Rani Kulup, Tutup Pintu Tapi Tak Berkunci.

Kenyataan mengejut oleh Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, yang mengumumkan rundingan Islamabad Talk tidak mencapai kata putus sebelum berlepas pulang ke Washington memberi gambaran seolah-olah segala usaha selama lebih 20 jam itu berakhir sia-sia.

Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam, apa yang berlaku bukanlah penamat. Ia lebih tepat dilihat sebagai jeda sebelum pusingan seterusnya.

Ini bukan rundingan biasa. Ia merupakan antara pertemuan bersemuka paling tinggi antara Amerika Syarikat dan Iran dalam beberapa dekad, dan yang paling signifikan sejak Revolusi Iran 1979.

Dalam konteks sejarah hubungan yang tegang, hakikat bahawa kedua-dua pihak mampu duduk semeja selama hampir sehari sudah membawa makna tersendiri.

Hakikatnya, rundingan ini tidak bermula pada hujung minggu lalu. Ia berakar sejak konflik memuncak apabila Washington mula menyedari perkembangan di medan tidak seperti yang diharapkan.

Dari situ, diplomasi serantau diaktifkan —melibatkan Mesir, Turki, Arab Saudi dan Pakistan —bagi membuka laluan keluar daripada kebuntuan.

Pertemuan 'kuartet' Pakistan, Mesir, Turki dan Arab Saudi pada 29 Mac menjadi asas kepada proses ini, pembentukan yang sering dilihat sebagai 'blok Sunní', platform diplomatik longgar untuk menyelaraskan peranan negara berkepentingan yang matlamatnya adalah untuk membina saluran komunikasi dan kepercayaan.

Di sinilah peranan Pakistan terserlah. Dalam keadaan mempunyai hubungan strategik dengan Riyadh dan pada masa yang sama mengekalkan saluran terbuka dengan Tehran, Islamabad berjaya mengekalkan keseimbangan yang jarang berlaku.

Ia bukan sekadar tuan rumah, tetapi pemudah cara yang berfungsi dengan berhati-hati, tidak neutral sepenuhnya, tetapi cukup seimbang untuk dipercayai kedua-dua pihak.

Gencatan senjata pada 8 April dan rundingan peringkat tinggi selepas itu hanyalah kesinambungan daripada proses yang lebih panjang.

Maka, mengharapkan hasil muktamad dalam tempoh singkat jelas tidak realistik. Diplomasi, terutama dalam konflik sebesar ini, bergerak secara berlapis dan berperingkat.

Kapal tangki Callisto berlabuh di Pelabuhan Sultan Qaboos ketika trafik di Selat Hormuz berkurangan susulan konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, di Muscat, Oman pada 12 Mac 2026. Foto REUTERS

Penglibatan China

Apa yang boleh disebut sebagai 'Islamabad Talk 1.0' bukanlah untuk memuktamadkan perjanjian, tetapi untuk menguji kedudukan, memahami garis merah dan menilai ruang kompromi.

Dari situ, rangkaian diplomatik berkembang, termasuk penglibatan China yang mempunyai kepentingan langsung terhadap kestabilan serantau, khususnya melibatkan Iran.

Maklumat daripada pelbagai sumber menunjukkan rundingan tersebut sebenarnya hampir mencapai '80 peratus' persetujuan sebelum tersekat pada isu-isu kritikal yang tidak dapat diputuskan serta-merta.

Ini termasuk program nuklear Iran, sekatan ekonomi, serta isu paling sensitif: Selat Hormuz, laluan utama bekalan tenaga dunia.

Di sinilah perbezaan budaya politik antara kedua-dua negara menjadi faktor penting. Di pihak Iran, kesinambungan dasar luar amat ketara.

Tokoh seperti Abbas Araghchi terlibat dalam rundingan sejak era Mahmoud Ahmadinejad, diteruskan di bawah Hassan Rouhani dan Ebrahim Raisi, dan kini di bawah Masoud Pezeshkian. Struktur diplomasi Iran konsisten, dengan pengalaman dan memori institusi yang berterusan.

Sebaliknya, di Amerika Syarikat, perubahan pentadbiran sering membawa perubahan pendekatan yang ketara.

Penarikan diri daripada Perjanjian Nuklear Iran (JCPOA) selepas peralihan daripada pentadbiran Barack Obama kepada Donald Trump masih menjadi punca ketidakpercayaan Tehran.

Dalam konteks ini, rundingan menjadi lebih sukar kerana persoalan utamanya bukan sekadar isi perjanjian, tetapi jaminan bahawa ia akan dihormati. Namun begitu, tanda-tanda positif tetap wujud.

China secara terbuka menyokong pendekatan diplomatik dan menyeru agar gencatan senjata dikekalkan.

Di dalam bilik rundingan sendiri, suasana yang pada awalnya tegang dilaporkan mula reda menjelang penghujung sesi, malah cadangan untuk melanjutkan rundingan menjadi perjanjian sempat timbul sebelum akhirnya ditangguhkan.

Lebih penting, komunikasi antara kedua-dua pihak tidak terputus. Kenyataan bahawa dialog 'masih hidup' dan masih ada 'pergerakan ke hadapan' menunjukkan saluran rundingan kekal terbuka.

Seperti yang diisyaratkan oleh Duta Iran ke Pakistan, Reza Amiri-Moghadam, Islamabad Talk bukan satu peristiwa, tetapi satu proses. Proses ini masih berjalan, masih berkembang, dan masih melibatkan pemain serantau yang sama.

Apa yang berlaku hanyalah penutupan sementara satu bab, dengan banyak persoalan sengaja dibiarkan terbuka untuk dirundingkan semula dalam pusingan seterusnya.

Dalam diplomasi, kadangkala menutup pintu adalah perlu. Tetapi selagi ia tidak dikunci, ruang untuk kembali sentiasa ada.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619