Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia diundi bersama Jepun, Singapura acara regu

15 Apr 2026, 12:16 PM
Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia diundi bersama Jepun, Singapura acara regu

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Juara bertahan Malaysia diundi dalam Kumpulan A divisyen premier acara regu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini dari 16 hingga 23 Mei ini.

Berdasarkan undian rasmi, skuad negara bakal berdepan cabaran Jepun dan Singapura dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.

Kumpulan B pula menyaksikan kuasa besar Thailand diundi bersama Iran dan India, manakala Kumpulan C menghimpunkan Myanmar, Vietnam, China serta Indonesia.

Kumpulan D pula terdiri daripada Filipina, Taiwan, Korea Selatan dan Brunei.

Bagi saingan premier regu berpasukan, Malaysia yang muncul naib juara edisi 2024 diundi dalam Kumpulan B bersama India dan Myanmar, manakala juara bertahan Thailand mengetuai Kumpulan A bersama Filipina dan Vietnam.

Kumpulan C menampilkan Korea Selatan, Singapura dan Jepun, sementara Kumpulan D terdiri daripada Indonesia, China dan Brunei.

Ketua jurulatih negara Ahmad Jais Baharun menyifatkan keputusan undian itu sebagai seimbang, dengan setiap kumpulan dalam acara regu berpasukan yang merupakan acara tumpuan kejohanan dilihat memiliki kekuatan tersendiri yang menuntut tahap konsistensi tinggi daripada pemain.

"Kalau kita lihat keputusan undian, semua kumpulan agak seimbang. Tapi kita akan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan kerana kita perlu lebih konsisten.

“Kita juga mahu meningkatkan lagi prestasi pemain, lebih-lebih lagi kita datang sebagai naib juara sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Jais mengakui India dan Myanmar bukan lagi pasukan yang boleh dipandang ringan apabila menunjukkan peningkatan mendadak kebelakangan ini.

"Prestasi semasa mereka meningkat dengan drastik. Ini beri isyarat kepada kita untuk bersedia lebih awal supaya tidak terperangkap nanti," katanya.

Dalam pada itu, saingan divisyen premier acara kuadran yang julung kali dianjurkan menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama India, Singapura dan Korea Selatan.

Kumpulan A menghimpunkan China, Brunei dan Myanmar, manakala Kumpulan B melibatkan Filipina, Taiwan dan Iran.

Kumpulan D pula menyaksikan Jepun, Indonesia, Vietnam dan Thailand bersaing bagi merebut slot ke peringkat seterusnya.

-- BERNAMA

TAG: sepak takraw, Piala Dunia 2026, undian, Ahmad Jais Baharun

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619