Bantuan BUDI dinaikkan kepada RM400, rakyat tarik nafas lega

15 Apr 2026, 9:13 AM
Bantuan BUDI dinaikkan kepada RM400, rakyat tarik nafas lega

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Inisiatif kerajaan menaikkan kadar bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi serta BUDI Diesel Individu kepada rakyat Malaysia yang layak, dengan masing-masing kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April, memberikan kelegaan kepada golongan sasar dalam mendepani peningkatan kos sara hidup dan operasi harian.

Langkah tersebut disifatkan sebagai tepat pada masanya, khususnya bagi membantu meringankan beban kewangan petani, pesawah dan peniaga kecil yang bergantung kepada penggunaan diesel dalam aktiviti ekonomi mereka.

Di KEDAH, Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan memaklumkan kenaikan bantuan itu memberi manfaat langsung kepada 55,904 peladang di kawasan MADA serta menjadi sokongan penting dalam mendepani cabaran kos pengeluaran semasa.

“Peladang di kawasan MADA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan berterusan dalam memastikan kelangsungan sektor pertanian serta jaminan bekalan makanan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Selain itu, Azhar Bakar, 67, dari Taman Impian, Alor Setar yang mengusahakan sawah sejak 30 tahun lepas berkata kenaikan bantuan itu membantu terutamanya ketika memasuki musim penanaman padi.

Di SELANGOR, penternak kambing, Kamal Ali, 51, dari Kampung Endah, Banting berkata peningkatan BUDI Agri-Komoditi membantu mengurangkan kos operasi harian yang semakin meningkat.

Katanya ketika ini, beliau berusaha mengoptimumkan penggunaan diesel dengan merancang perjalanan secara lebih sistematik terutama menjelang Aidiladha apabila permintaan daging kambing korban meningkat.

Di PAHANG, kakitangan swasta, Ahmad Efendy Jamaludin, 47, berkata kenaikan jumlah bantuan berkenaan dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup bagi golongan yang menggunakan kenderaan diesel.

“Saya juga berharap dengan inisiatif berkenaan dapat mengelakkan kenaikan harga barangan secara mendadak terutama barangan makanan,” katanya.

Bagi ahli perniagaan, Aziyadi Abdullah, 54, inisiatif itu boleh menampung sebahagian kos penggunaan diesel bagi jangka pendek selain dapat menstabilkan harga barang keperluan harian.

Di KELANTAN, Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (PESAK) Zuha Ismail berkata inisiatif itu adalah berita gembira kepada petani dan menunjukkan kerajaan prihatin dengan keperluan kumpulan tersebut dalam mendepani pelbagai kenaikan kos.

“Boleh dikatakan hampir keseluruhan jentera yang digunakan untuk proses penanaman padi melibatkan penggunaan diesel. Upah membajak sudah beberapa kali dinaikkan manakala kos-kos lain juga meningkat termasuk keperluan penggunaan pam untuk menyalurkan air ke sawah dalam musim kemarau ini,” katanya.

Di JOHOR, penternak lembu dan kambing di Batu Pahat, Muhd Muhadir Abdullah, 46, berkata peningkatan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi membantu meringankan beban penternak yang bergantung pada kenderaan diesel untuk urusan harian.

Beliau berkata selama 20 tahun menjadi penternak, kenderaan pacuan empat roda miliknya menjadi pengangkutan utama bagi menghantar haiwan ternakan atau daging yang disembelih kepada pelanggan.

Azalie Arshad, 42, yang telah 15 tahun mengusahakan perniagaan pengangkutan trak di Mersing pula berkata bantuan BUDI Diesel Individu sedikit sebanyak membantu beliau menampung kos yang tinggi dalam pembelian diesel.

Bapa kepada tiga anak itu turut terkesan dengan kenaikan harga bahan api akibat krisis tenaga global sehingga perbelanjaan meningkat kira-kira RM800 sebulan bagi penggunaan kenderaan utiliti pelbagai guna (MPV) dan Toyota Hilux, dengan akhirnya terpaksa membeli kereta Perodua Axia sebagai langkah penjimatan kerana semakin terbeban dengan operasi harian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619