KoHijrah kekalkan harga barang asas walaupun kos operasi meningkat

17 Apr 2026, 1:01 AM
KoHijrah kekalkan harga barang asas walaupun kos operasi meningkat
KoHijrah kekalkan harga barang asas walaupun kos operasi meningkat
KoHijrah kekalkan harga barang asas walaupun kos operasi meningkat

SHAH ALAM, 17 APRIL: Koperasi Warga Hijrah (KoHijrah) Selangor berjaya mengekalkan harga barangan asas meskipun berdepan peningkatan kos operasi hasil perancangan awal yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

Pengurus Besarnya, Dato’ Dr Mohammad Syukri Ismail berkata perancangan rapi termasuk pelaksanaan model perniagaan berkelompok menjadi faktor utama dalam mengawal harga dan memastikan bekalan mencukupi.

"Sejak awal lagi kita telah menjangka kemungkinan berlakunya krisis ekonomi dan kenaikan kos seperti hari ini. Justeru pelbagai perancangan telah dibuat lebih awal.

"Melalui pendekatan perniagaan berkelompok, kita menyusun rantaian bekalan daripada pengeluar terus ke platform korporasi tanpa melibatkan orang tengah," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, meskipun KoHijrah berdepan peningkatan kos sekitar 25 hingga 35 peratus, khususnya melibatkan logistik dan fasiliti, langkah penyelarasan dalaman berjaya mengekang kesan tersebut kepada pengguna.

Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah (KoHijrah), Dato’ Dr Mohammad Syukri Ismail. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

"Walaupun operasi terjejas, harga barangan asas seperti beras, ayam, minyak masak dan sayur-sayuran masih dapat dikekalkan pada kadar munasabah.

"Ini kerana bekalan diperoleh terus daripada anggota sendiri yang terlibat dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan," katanya.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja menstabilkan harga, malah memastikan bekalan sentiasa mencukupi tanpa gangguan besar di pasaran.

"Lebih 10,000 anggota kita mengeluarkan pelbagai produk yang disalurkan terus ke platform KoHijrah.

"Keadaan ini membolehkan kita mengawal kos sekali gus mengelak kenaikan harga yang mendadak," jelasnya.

Pada masa sama, Mohammad Syukri berkata pelbagai inisiatif diteruskan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa.

Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran di Wisma Kohijrah, Shah Alam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

"Di premis KoHijrah, program jualan terus dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pihak korporat.

"Antara inisiatif diteruskan termasuk Jualan Ehsan Rahmah (JER) dan jualan murah lain yang memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan asas pada harga lebih rendah," tambahnya.

Beliau berkata KoHijrah turut mengoptimumkan operasi menerusi langkah penjimatan dan penyusunan semula operasi bagi meningkatkan kecekapan kos.

"Langkah penjimatan seperti pengurangan penggunaan elektrik dan penyusunan jadual operasi berjaya mengurangkan kos utiliti antara 30 hingga 35 peratus.

"Pendekatan ini memastikan operasi kekal lancar tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna," ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa termasuk kemungkinan kenaikan kos pada masa hadapan bagi memastikan strategi sedia ada kekal relevan.

"Sekiranya berlaku peningkatan kos yang lebih tinggi, kita akan menilai semula pelan bagi memastikan harga barangan terus terkawal.

"Namun setakat ini, kita yakin dengan persediaan yang telah dibuat, KoHijrah mampu terus menawarkan harga berpatutan kepada orang ramai," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619