SHAH ALAM, 14 APRIL: Selangor menjadi negeri peneraju dalam pelaksanaan program inovasi sektor awam, sekali gus berperanan sebagai platform utama perkongsian amalan terbaik serta pemangkin reformasi tadbir urus perkhidmatan awam di peringkat nasional.
Pengarah Bahagian Reformasi Sektor Awam Syuhaida Abdul Wahab berkata pemilihan Selangor sebagai negeri pertama bagi program itu bertujuan memberi inspirasi kepada negeri-negeri lain dalam memperkasa agenda inovasi perkhidmatan awam.

“Program ini merupakan manifestasi kepada usaha dan pencapaian pelbagai agensi, dan ia berfungsi sebagai platform strategik untuk berkongsi amalan terbaik, di samping memupuk budaya inovasi serta kecemerlangan holistik dalam penyampaian perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap pada pelancaran program berkenaan di Pusat Konvensyen MBSA, pagi tadi.
Syuhaida turut menegaskan bahawa inovasi amat penting dalam memastikan transformasi sektor awam kekal relevan, manakala kegagalan untuk berinovasi boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan serta kepercayaan rakyat.
“Kegagalan untuk berinovasi akan menyebabkan organisasi menjadi statik dan menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Pegawai awam perlu keluar daripada zon selesa dan beralih daripada sekadar pelaksana kepada pencipta penyelesaian,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Tadbir dan Pentadbiran Awam, Jabatan Hal Ehwal Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN DESA), Elizabeth Niland berkata Malaysia berada pada kedudukan baik untuk memperkukuh agenda inovasi sektor awam susulan asas kukuh dalam reformasi tadbir urus.
Beliau berkata inisiatif berterusan UN DESA bertujuan membantu negara termasuk Malaysia memperkukuh integrasi inovasi dalam sistem kerajaan dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Kami melihat pelbagai contoh terbaik bagaimana kerajaan mengurus perubahan dan berinovasi, dan kami mahu membawa pengalaman antarabangsa itu dalam kerjasama serta kerja kami bersama Malaysia,” katanya menerusi ucapan rakaman.
Beliau turut berkata UN DESA menyokong pentadbiran awam global melalui beberapa inisiatif termasuk Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Anugerah Perkhidmatan Awam Dunia, Laporan Sektor Awam Dunia serta Tinjauan E-Kerajaan PBB yang memantau trend transformasi tadbir urus global.
Menurutnya lagi, inovasi tidak hanya tertumpu kepada teknologi semata-mata, sebaliknya turut merangkumi aspek manusia, proses dan dasar.
Katanya, inovasi memerlukan perubahan budaya dalam pentadbiran kerajaan yang disokong persekitaran kondusif seperti ruang percubaan serta kerjasama strategik bagi memastikan keberkesanan jangka panjang.








