SHAH ALAM, 14 APRIL: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun 30 peratus untuk pembelian tiket tren di bawah kendaliannya bermula esok hingga 20 April ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif yang ditawarkan bagi perjalanan setiap Isnin hingga Khamis itu meliputi semua sektor perkhidmatan tren elektrik (ETS) serta Ekspres Rakyat Timuran (ERT) laluan JB Sentral-Tumpat-JB Sentral, lapor The Star.
Bagaimanapun, beliau berkata diskaun 30 peratus tidak terpakai pada musim cuti sekolah dan cuti umum bagi memastikan pengurusan kapasiti tren lebih efisien ketika tempoh puncak.
“Inisiatif ini ditawarkan khusus untuk perjalanan dari Isnin hingga Khamis sebagai sebahagian usaha berterusan Kerajaan Madani bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya pada sidang media sempena Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api, di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan diskaun itu selaras komitmen kerajaan untuk menjadikan pengangkutan rel sebagai mod utama rakyat di negara ini.
“Selain membantu mengurangkan kos perjalanan, ia juga mampu meningkatkan mobiliti awam serta menyokong agenda negara ke arah sistem pengangkutan yang lebih mampan dan inklusif,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna perlu menggunakan kod promosi yang akan diumumkan oleh KTMB bagi menikmati tambang lebih rendah.
Tempoh tempahan promosi bermula 15 hingga 30 April ini, manakala perjalanan sah digunakan dari 15 April hingga 14 Oktober.
Anthony turut menjelaskan diskaun tersebut tidak melibatkan tiket ETS Kelas Perniagaan, ERT Kelas Pertama dan Kelas Sleeper serta pemegang tiket konsesi sedia ada.
Sehubungan itu, orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal bagi mendapatkan tempat duduk serta memanfaatkan penjimatan yang ditawarkan.
Untuk maklumat lanjut dan mendapatkan kod promosi, pengguna boleh melayari laman sesawang rasmi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di www.ktmb.com.my atau mengunjungi saluran media sosial rasminya.








