Polis gagalkan cubaan seludup syabu, ganja bernilai lebih RM5 juta di KLIA

13 Apr 2026, 8:26 AM
Polis gagalkan cubaan seludup syabu, ganja bernilai lebih RM5 juta di KLIA

SHAH ALAM, 13 APRIL:Polis berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa menerusi serbuan berasingan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang melibatkan rampasan keseluruhan seberat 82 kilogram (kg) dengan nilai kira-kira RM5.45 juta.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kes pertama melibatkan tangkapan ke atas seorang jurujual pakaian berusia 19 tahun di kawasan parkir kenderaan sebuah pusat beli-belah sekitar KLIA pada 5 April lepas.

Beliau berkata penahanan wanita warga tempatan yang turut membawa bersamanya sebuah bagasi telah menemukan 12 bungkusan plastik disyaki berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 12.5 kg bernilai RM625,000.

“Saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di sini hari ini.

Shazeli berkata serbuan pada 6 April di Terminal 1, KLIA pula menemukan tiga bagasi dipercayai milik tiga lelaki tempatan berisi 90 bungkusan plastik disyaki dadah jenis bunga ganja seberat 45 kg bernilai RM3.6 juta.

Beliau berkata kesemua suspek berusia antara 26 hingga 37 tahun yang bekerja sebagai juruteknik komputer dan pengawal keselamatan terlebih dahulu ditahan di lapangan terbang di sebuah negara di Eropah hasil kerjasama dengan pihak polis negara berkenaan.

“Penahanan terhadap mereka ini telah dilakukan pada 8 April oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA. Dua daripada suspek didapati positif dadah amphetamine dan methamphetamine manakala polis turut menyita wang tunai sebanyak £190 (RM1,000).

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati dua daripada mereka masing-masing mempunyai empat dan enam rekod lampau. Kami percaya dadah ini untuk diedarkan di pasaran antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Shazeli turut memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan Syazwani Farhana Dron, 33, yang dipercayai pemilik bagasi mengandungi 23 bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 24.5 kg bernilai RM1.225 juta dipercayai untuk diedarkan ke pasaran Sabah.

Shazeli berkata wanita itu didapati telah melarikan diri selepas menyedari bagasi itu ditahan dan tidak menaiki penerbangan berkenaan.

“Kesemua mereka ini dipercayai keldai dadah kali pertama daripada sindiket berasingan dan ditawarkan ganjaran lumayan serendah RM5,000 selain perbelanjaan tiket dan penginapan mereka ditaja pihak sindiket,” katanya.

Kesemua suspek yang ditahan direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619