SHAH ALAM, 14 April: Ramai pembeli muda di negara ini tersilap langkah membeli rumah sehingga berdepan risiko kewangan serius termasuk hartanah itu dilelong dan diisytihar muflis.
Perunding hartanah, Fikry Zulkifly berkata tren tersebut semakin membimbangkan apabila terdapat kes pemilik seawal usia 26 tahun gagal menampung komitmen pinjaman akibat keputusan pembelian yang tidak dirancang dengan teliti.
"Antara punca utama ialah asas kewangan yang tidak kukuh selain kecenderungan membeli rumah berdasarkan emosi dan pengaruh rakan sebaya.
"Selain itu, ramai pembeli mudah terpedaya dengan tawaran menarik seperti promosi pemaju tanpa memahami komitmen sebenar yang perlu ditanggung selepas pembelian dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program Bicara Semasa bertajuk ‘Beli Rumah: Kos ‘Senyap’ Ramai Tak Tahu’ terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, keadaan tersebut menyebabkan ramai pembeli berdepan tekanan kewangan apabila komitmen bulanan melebihi kemampuan sebenar.
“Ada yang nampak rumah cantik atau tawaran menarik, terus membuat keputusan tanpa membuat kajian mendalam,” katanya.
Menurutnya, dalam situasi lebih serius kegagalan mengurus kewangan boleh menyebabkan pemilik gagal membayar pinjaman sehingga hartanah dilelong oleh pihak bank.
Ramai terlepas pandang kos 'senyap' beli rumah
Dalam pada itu, beliau berkata ramai pembeli hanya memberi tumpuan kepada deposit dan ansuran bulanan tanpa menyedari kewujudan kos tambahan lain yang perlu ditanggung.
Menurutnya, kos tersembunyi tersebut termasuk yuran guaman bagi perjanjian jual beli (SPA) dan pinjaman, duti setem, yuran penilaian hartanah serta perlindungan insurans seperti MRTA (Mortgage Reducing Term Assurance) atau MLTA (Mortgage Level Term Assurance).
Katanya, secara keseluruhan kos tambahan ini boleh mencecah sekitar lima hingga lapan peratus daripada harga rumah, tidak termasuk bayaran deposit.
“Jika digabungkan dengan deposit, jumlah keseluruhan boleh meningkat sehingga 15 peratus daripada harga rumah, khususnya bagi pembelian rumah subsale,” katanya lagi.
Selain itu, pembeli juga perlu mengambil kira kos lain yang sering terlepas pandang seperti cukai pintu, cukai tanah, yuran penyelenggaraan serta perbelanjaan ubah suai dan pembelian perabot selepas menerima kunci rumah.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan muda disaran membuat perancangan kewangan yang teliti serta memahami keseluruhan kos terlibat sebelum membuat keputusan membeli rumah bagi mengelakkan beban kewangan di kemudian hari.
Berikut lima panduan ringkas untuk pembeli rumah pertama:









