SHAH ALAM, 12 APRIL: Satu daripada 15 individu dewasa di negara ini menderita penyakit buah pinggang kronik (CKD), dengan majoriti hanya dikesan ketika sudah di tahap kritikal.
Pakar Nefrologi, Dr Muhammad Iqbal Abdul Hafidz berkata penyakit CKD tidak menunjukkan simptom pada peringkat awal dan menyebabkan pesakit tidak menyedari menghidapi penyakit tersebut.
“Malangnya, ramai yang tidak sedar mereka ada penyakit CKD kerana ia tidak bergejala. Apabila sudah alami simptom seperti bengkak kaki, tiada selera makan, atau lesu, itu selalunya sudah berada di tahap empat atau lima.
“Saya mahu ingatkan, hanya satu cara untuk kesan CKD adalah dengan menjalani saringan kesihatan. Buatlah sekurang-kurangnya setahun sekali, itu pun sudah memadai,” katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, beliau menjadi moderator pada forum bertajuk Kesejahteraan Emosi, Pemakanan dan Penjagaan Ubat-Ubatan: Mencari Ketenangan dan Tujuan dalam Perjalanan Hidup Bersama CKD.
Forum berkenaan dianjurkan sempena Majlis Perasmian Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.
Majlis anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) itu disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan dihadiri EXCO Kesihatan, Jamaliah Jamaluddin.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Iqbal berkata kadar obesiti rakyat negara ini yang juga antara tertinggi di rantau Asia Tenggara, menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan penyakit CKD.
Ini kerana, katanya, kebanyakan pesakit CKD kebiasannya turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan berat badan berlebihan yang akhirnya menyebabkan kegagalan organ buah pinggang.
“Cara mahu elakkan mudah sahaja. Amalkan gaya hidup yang sihat. Tiada pemakanan yang khusus, hanya kawal pengambilan kalori, gula dan garam. Dapatkan berat badan yang ideal. Kalau ikut suku-suku separuh juga sudah mencukupi,” katanya.








