SHAH ALAM, 12 APRIL: Kira-kira 10,000 dewasa di negara ini dikesan mengalami penyakit buah pinggang kronik (CKD) setiap tahun, yang berakhir dengan kegagalan fungsi organ itu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata situasi tersebut disifatkan sebagai membimbangkan dengan kini lebih 50,000 pesakit CKD sedang menerima rawatan di pelbagai pusat rawatan.
“CKD ini serius. Seramai 10,000 setahun alami CKD yang berakhir dengan kegagalan buah pinggang pada tahap akhir, yang perlu jalani dialisis.
“Kita juga ada lebih 50,000 pesakit CKD yang perlu jalani rawatan seperti hemodialisis atau peritoneal dialisis dan sekarang ia sudang dianggap antara penyakit utama di Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Program anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) itu disertai lebih 200 peserta dan turut dihadiri EXCO Kesihatan, Jamaliah Jamaluddin.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kementeriannya akan terus memperhebat kempen kesedaran pendermaan organ berikutan pemindahan buah pinggang kekal sebagai rawatan paling optimum.
Menurutnya, proses rawatan penyakit buah pinggang menggunakan jumlah air dan tenaga yang tinggi, selain turut menghasilkan sisa plastik perubatan yang mengancam alam sekitar.
“Untuk ke depan nanti inilah polisi yang akan kita pastikan iaitu mengimbangi keperluan rawatan dengan menjaga faktor yang akan mengurangkan seminima mungkin kesan kepada alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Jamaliah berkata Kerajaan Negeri menyahut saranan kerajaan Persekutuan untuk memperkasa kempen pendermaan organ bagi mengimbangi kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
Selain itu, katanya, Kerajaan Selangor juga akan mempertimbang untuk memasukkan saringan awal penyakit buah pinggang dalam program inisiatif saringan kesihatan percuma, Selangor Saring.
“Mungkin selepas ini kita boleh pertimbangkan. Sebelum ini kita fokus kepada penyakit kanser dan sebagainya. Selain itu, kami sedang berbincang untuk jalankan kempen pendermaan organ.
“Salah satu cara untuk jaga kelestarian alam sekitar adalah sekiranya kita mempunyai peluang untuk jalankan pemindahan organ. Ketika ini, jumlah penderma adalah sangat rendah,” katanya.









