Lelaki lolos dari penjara dipercayai masih berada dalam negara

12 Apr 2026, 5:49 AM
Lelaki lolos dari penjara dipercayai masih berada dalam negara

SHAH ALAM, 12 APRIL: Polis mengesahkan lelaki warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh Khamis lalu masih belum ditangkap.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata suspek dipercayai masih berada dalam negara dan operasi mengesannya giat dijalankan.

“Polis masih mencari dan mengesan suspek. Skop pencarian masih di dalam negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.

Menurutnya, pihak polis turut mempergiatkan operasi termasuk memperketat kawalan di pintu sempadan bagi mengelak suspek melarikan diri ke luar negara.

Terdahulu, insiden berlaku jam 6 petang Khamis lalu ketika proses menghantar tahanan reman ke Penjara Sungai Buloh oleh Cawangan Pengawal Pengiring Shah Alam.

Suspek dilaporkan meloloskan diri ketika turun dari kenderaan polis sebaik tiba di padang kawad penjara berkenaan.

Difahamkan, lelaki berusia 24 tahun itu sebelum itu selesai menjalani prosiding di Mahkamah Shah Alam melibatkan kes seksual terhadap kanak-kanak, rompakan serta kesalahan imigresen.

Suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan dan kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren serta seluar panjang hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedudukan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor C Muhendran di talian 010-4304383 atau hotline ‘Search and Capture’ di 03-61401096.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619