KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Juara bertahan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China selepas menewaskan lawan masing-masing dalam pusingan kedua yang sengit hari ini.
Aaron-Wooi Yik menumpaskan wakil tuan rumah Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi, 22-20, 21-19 dalam pertembungan sengit di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, sekali gus mencatat kemenangan pertama ke atas pasangan China yang berada di ranking ke-37 dunia itu.
Beregu nombor dua dunia itu seterusnya akan berdepan pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju bagi merebut tempat ke separuh akhir dalam pertemuan pertama mereka.
Sementara itu, Pearly-Thinaah berhempas-pulas menewaskan pasangan Taiwan Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun 21-19, 19-21, 24-22 dalam perlawanan mendebarkan yang berlangsung lebih sejam.
Kemenangan ini menandakan kemenangan ketiga mereka ke atas pasangan Taiwan berkenaan selepas menewaskan lawan sama di Terbuka Perancis 2025 dan Masters Jepun 2025.
Di suku akhir nanti, Pearly-Thinaah dijadual bertemu wakil China Li Yi Jing-Luo Xu Min yang menewaskan beregu dari Jepun Rui Hirokami-Sayaka Hobara 21-14, 21-10.
Sementara itu, satu lagi wakil negara Ong Xin Yee-Carmen Ting, gagal meneruskan kemaraan apabila tunduk kepada gandingan ketujuh dunia dari Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, 18-21, 14-21.








