Bangun KL: Insiatif galak rakyat masuki ibu kota lebih awal - Menteri

9 Apr 2026, 9:15 AM
Bangun KL: Insiatif galak rakyat masuki ibu kota lebih awal - Menteri

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Inisiatif 'Bangun KL: Ke Arah Kuala Lumpur Yang Lebih Sejahtera' bertujuan menggalakkan orang ramai memasuki ibu kota lebih awal sekali gus mengurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif itu menekankan perubahan tingkah laku melalui pemberian insentif dan kerjasama rentas sektor dalam menangani tekanan trafik secara lebih menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) pada 18 Mac 2026. Foto BERNAMA

“Bandar yang baik bukan sekadar cantik dari segi rupa, tetapi mesti berfungsi untuk kehidupan harian rakyat. Sebab itu, kita memulakan program Bangun KL. Ini bukan tentang slogan, tetapi tentang mengubah cara bandar ini bergerak setiap pagi.

“Kita tidak boleh selesa dengan pola lama yang menyebabkan semua orang bergerak pada waktu sama dan terperangkap dalam kesesakan sama. Bangun KL adalah usaha untuk mengagihkan semula tekanan waktu pagi supaya lebih seimbang dan lebih manusiawi,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran program berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Datuk Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Zus Coffee Venon Tian.

Melalui inisiatif dengan kerjasama Zus Coffee itu, Hannah berkata sebanyak 250 cawangan rangkaian kopi berkenaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya menawarkan minuman pada harga diskaun kepada warga kota yang tiba awal antara 7 pagi hingga 8 pagi menerusi aplikasi mudah alih syarikat tersebut.

Beliau berkata dianggarkan 1.2 juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap pagi dan pengagihan semula sekurang-kurangnya 10 peratus daripada aliran tersebut ke waktu lebih awal mampu memberi impak signifikan kepada kelancaran trafik.

Katanya Bangun KL merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup warga kota menerusi keseimbangan antara waktu bekerja, kesihatan dan kehidupan sosial.

Mengulas mengenai hala tuju kementerian, Hannah berkata dalam tempoh 100 hari pertama di Wilayah Persekutuan, fokus diberikan kepada pengukuhan tadbir urus, akses komuniti, aplikasi berkaitan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ruang hijau serta kerjasama dengan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan untuk memperluaskan konsep insentif itu kepada sektor lain serta meneroka model harga berbeza mengikut waktu bagi menggalakkan pergerakan lebih awal atau lebih lewat.

Katanya pendekatan tersebut dijangka menjadi pemula kepada perubahan lebih luas dalam pengurusan bandar dengan penekanan kepada kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat bagi mewujudkan Kuala Lumpur yang lebih sejahtera serta efisien.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619