Polis tumpas sindiket dadah Lembah Klang, rampasan RM8.6 juta

9 Apr 2026, 8:26 AM
Polis tumpas sindiket dadah Lembah Klang, rampasan RM8.6 juta

SHAH ALAM, 9 APRIL: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah di sekitar Lembah Klang dengan rampasan dianggarkan bernilai RM8.6 juta menerusi serbuan pada 3 April lalu.

Pengarah JSJN CP Datuk Hussein Omar Khan berkata dua suspek iaitu seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia 42 dan 28 tahun ditahan dalam operasi di kawasan parkir sebuah kondominium di Jalan Pandan Indah.

Menurutnya, kedua-dua suspek berperanan sebagai ‘store keeper’ dan ‘runner’, dengan menerima upah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap penghantaran, manakala sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari lalu.

“Sindiket menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa selain menjadikan rumah sewa sebagai lokasi penyimpanan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhan, rampasan melibatkan ketamin seberat 53.32 kg, methamphetamine (43.77 kg ), MDMA (1.01 kg ), cecair vape berasaskan dadah (17.57 kg) serta pil ekstasi (6.3 kg) dengan nilai pasaran dianggarkan RM8,586,750.

Hussein menambah jumlah dadah yang dirampas dipercayai mampu menjejaskan kira-kira 424,000 pengguna.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 April bagi membantu siasatan. Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah, manakala semakan rekod menunjukkan salah seorang suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam perkembangan sama, polis turut menyita harta bernilai RM80,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan sebuah Proton X70 dan sebuah Nissan Grand Livina, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM8,666,750.

JSJN menegaskan komitmen berterusan dalam memerangi dadah serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat. Orang awam digesa menyalurkan maklumat melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619