Rasukan emosi punca mangsa mudah terjebak kes penipuan

11 Apr 2026, 12:00 AM
Rasukan emosi punca mangsa mudah terjebak kes penipuan
Rasukan emosi punca mangsa mudah terjebak kes penipuan
Rasukan emosi punca mangsa mudah terjebak kes penipuan

Peningkatan kes penipuan atau scam dalam talian di negara ini makin lama makin membimbangkan. Setakat September lalu, berlaku 47,854 kes membabitkan kerugian RM1.919 bilion.

Menurut statistik polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, bilangan kes sedemikian meningkat sebanyak 12,486 berbanding 35,368 pada 2024 melibatkan kerugian RM1.574 bilion.

Hampir setiap hari media massa memapar kisah tragis kes penipuan. Bukan puluhan ringgit, ada hingga mencecah jutaan ringgit. Wang simpanan berpuluh-puluh tahun lesap sekelip mata.

Persoalan utama bukanlah sama ada seseorang itu tahu atau tidak kes penipuan, kata presiden Persatuan Psikologi Malaysia. Sebaliknya bagaimana otak bertindak balas ketika dalam tekanan.

“Bezakan antara tahu dan buat. Ramai tahu tentang scam tetapi apabila situasi sebenar berlaku, otak tidak semestinya bertindak berdasarkan pengetahuan,” kata Prof Dr Shazli Ezzat kepada Media Selangor.

Dalam keadaan panik, takut, terdesak atau terlalu teruja, manusia mudah mengalami fenomena ‘emotional hijacking’ atau rasukan emosi. Secara mudah, emosi merampas kawalan daripada pemikiran rasional.

"Bila panik, contohnya diberitahu akaun bank akan dibeku, otak masuk ke mod ‘fight or flight’ (lawan atau lari). Fokus jadi sempit. Matlamat ketika itu hanya satu, atasi masalah segera,” katanya.

Bukan emosi negatif seperti takut dan cemas membuka ruang penipuan. Emosi positif seperti teruja juga melemahkan pertimbangan rasional. Ini banyak berlaku dalam kes pelaburan palsu atau scam cinta lantaran mangsa terlalu berharap dan terlampau teruja.

Berdasarkan analisis perbandingan statistik polis, sebanyak 100 kes love scam dilapor pada Januari 2026, meningkat berbanding 95 kes dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya. Dalam sebulan sahaja, nilai kerugian mencecah RM3.5 juta.

Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali

Pengaruh psikologi

Kebanyakan penipu atau scammer menggunakan teknik manipulasi psikologi klasik bagi menewaskan pengetahuan mangsa dengan menimbulkan ugutan yang berupaya mencetus ketakutan. Tekanan masa antara taktik paling berbahaya kerana memaksa mangsa bertindak tanpa menyemak fakta.

“Ugutan untuk cetus ketakutan, beri tekanan masa seperti ‘lima minit lagi akaun akan dibeku’ dan menyamar pihak berkuasa seperti pegawai bank atau polis untuk eksploitasi kepercayaan,” katanya.

“Bila rasa tidak cukup masa, otak ambil jalan pintas. Scammer bukan sekadar pandai menipu, mereka faham psikologi manusia,” kata pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Kajian juga mendapati kira-kira 82 peratus mangsa penipuan dalam talian tergolong kalangan individu berpendidikan tinggi manakala 78 peratus terdiri daripada golongan milenial.

Menurut Laporan Keadaan Scam Malaysia 2025, sebanyak 85 peratus responden pernah berdepan cubaan penipuan dalam talian dan 73 peratus daripadanya menjadi mangsa membabitkan kerugian purata RM4,844.70 seorang.

Kajian Gogolook dan Global Anti-Scam Alliance (GASA) itu juga menolak tanggapan kononnya golongan kurang berpendidikan mudah menjadi mangsa. Bagi Dr Shazli, ia stigma besar. Realitinya, doktor, profesor bahkan ketua pegawai eksekutif (CEO) juga boleh terpedaya.

“Scam bukan soal IQ (ukuran kecerdasan). Ia soal emosi, situasi dan manipulasi. Individu yang terlalu yakin dengan diri sendiri berisiko jadi mangsa kerana berasa kebal dari penipuan.

“Kita panggil ‘overconfidence bias’. Bila rasa takkan kena, kita kurang berjaga-jaga. Scammer tidak pilih mangsa berdasarkan kelulusan tetapi melalui peluang emosi yang terbuka,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan pendekatan berasaskan tindakan bagi membantu masyarakat untuk berdepan situasi sebenar selain menggiatkan lagi kempen kesedaran.

Latihan dengan simulasi sebenar perlu supaya terbiasa dalam situasi tekanan. Amal teknik ‘henti seketika 10 minit’ sebelum membuat keputusan penting. Masyarakat juga perlu membina refleks skeptikal yang sihat, bukan paranoid, tetapi berhati-hati.

“Bukan 10 saat, tetapi 10 minit. Berhenti, tarik nafas, semak fakta. Jangan malu bertanya kepada keluarga atau hubungi bank sendiri untuk pengesahan,” kata Dr Sazali lagi.

Jika sesuatu tawaran kelihatan terlalu indah untuk dipercayai, besar kemungkinan ia memang tidak boleh dipercayai.

“Ambil sikap berhati-hati. Fikir dahulu sebelum bertindak. Itulah benteng terbaik kita,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619