SHAH ALAM, 9 APRIL: Semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam rondaan kini dilengkapi dengan kamera badan (BWC), dengan 7,648 unit diagihkan ke semua kontinjen dan formasi polis di seluruh negara.
Pengagihan ini merupakan sebahagian daripada fasa pelaksanaan BWC kepada setiap anggota barisan hadapan yang bermula pada Oktober 2024, lapor Berita Harian.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata setakat ini, semua 6,449 anggota JPJKK sudah dilengkapi peranti berkenaan, termasuk anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Polis Pelancong (UPP).
Beliau berkata, pengagihan dibuat secara berperingkat dan kini semua kontinjen polis negeri sudah memiliki kemudahan berkenaan.
"Selangor menerima agihan tertinggi dengan jumlah 1,328 unit, diikuti Perak (968), Johor (952), Sarawak (736), Sabah (704), Pulau Pinang (472), Pahang (440), Kedah (400) dan Kuala Lumpur (360).
"Sebanyak 328 unit masing-masing diagihkan kepada Kontinjen Polis Negeri Sembilan dan Kelantan, diikuti Terengganu (288), Melaka (192), Perlis (120), serta Bukit Aman (32)," katanya.
Mohd Yusri berkata, pihaknya berharap dapat menerima tambahan 10,000 unit BMC lagi menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Katanya, peranti baharu itu dijangka mempunyai spesifikasi lebih baik berbanding BWC sebelumnya termasuk jangka hayat bateri lebih panjang yang dikenal pasti sebagai kriteria utama dalam fasa perolehan seterusnya.








