Sultan Selangor puji usaha pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad

9 Apr 2026, 4:46 AM
Sultan Selangor puji usaha pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad
Sultan Selangor puji usaha pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa gembira terhadap usaha murni Khazanah Nasional dalam membangunkan serta memulihara semula Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, yang mempunyai nilai sejarah amat besar.

Menyifatkan bangunan itu sebagai warisan negara yang perlu dimartabatkan, baginda bertitah pernah menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan beberapa bangunan bersejarah Selangor di ibu kota yang dilihat semakin terabai sekitar tahun 2018 dan 2019.

Sultan Sharafuddin bertitah meskipun terdapat perbincangan dan perdebatan berhubung kos kerja pemulihan, baginda khuatir warisan sejarah negeri Selangor yang tidak ternilai itu berisiko untuk hilang dan lenyap sekiranya usaha pemuliharaan tidak dilaksanakan.

“Beta bimbang akhirnya nanti tiada lagi bukti kewujudan warisan negeri Selangor di Kuala Lumpur untuk tatapan generasi akan datang,” titah baginda sempena lawatan ke Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Gambar Bangunan Sultan Abdul Samad yang dirakam pada 1900 diambil daripada koleksi Sultan Selangor dan turut dimuatkan dalam buku fotografi Malay Peninsula. Foto Facebook Selangor Royal Office

Dibina pada 1894, Sultan Sharafuddin menyifatkan bangunan itu mempunyai nilai sejarah yang besar kerana pernah menjadi pejabat kerajaan baharu negeri Selangor, selain ibu pejabat Persekutuan ketika Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai pusat pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1896.

Sultan Sharafuddin bertitah bangunan itu siap dibina dalam tempoh dua tahun tujuh bulan dan dirasmikan pada 3 April 1897 semasa pemerintahan nenda baginda, Almarhum Sultan Sir Abdul Samad yang merupakan Sultan Selangor keempat.

“Selama 77 tahun, bangunan ini dikenali sebagai Sekretariat Selangor dan Sekretariat Persekutuan, mencerminkan peranan dwifungsi yang amat penting dalam pentadbiran negara ketika itu,” titah baginda.

Orang ramai mengunjungi Bangunan Sultan Abdul Samad. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Baginda bertitah selepas Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Feb 1974 dengan perkenan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj serta perpindahan ibu negeri Selangor ke Shah Alam, bangunan itu menjadi milik Kerajaan Persekutuan dan dinamakan semula sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Sesungguhnya, peristiwa penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan pada ketika itu adalah pengorbanan terbesar ayahanda beta demi pembangunan dan kemajuan Malaysia seluruhnya, dan Bangunan Sultan Abdul Samad ini adalah saksinya,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah bangunan itu mempunyai makna signifikan buat baginda kerana pernah berkhidmat di situ pada 1968 di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris sebelum ditempatkan di Pejabat Tanah Kuala Lumpur di bangunan Old Chartered Bank.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619