Bantuan Gaza manifestasi tanggungjawab agama dan kemanusiaan

10 Apr 2026, 4:00 AM
Bantuan Gaza manifestasi tanggungjawab agama dan kemanusiaan

Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza dan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 langkah penting yang mencerminkan keprihatinan berterusan umat Islam terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Inisiatif ini bukan sekadar tindakan politik atau simbolik, tetapi merupakan manifestasi tanggungjawab agama dan kemanusiaan yang berakar dalam ajaran al-Quran, hadis, Maqasid Syariah dan Usul al-Fiqh.

Tragedi yang menimpa Palestin bukanlah isu baharu. Sejak sekian lama, rakyat Palestin berdepan dengan penjajahan, perampasan tanah, penindasan dan kekejaman yang berterusan.

Pencerobohan terhadap tanah mereka oleh Israel bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, malah mencabul prinsip keadilan sejagat. Rumah diruntuhkan, nyawa tidak berdosa diragut, dan kehidupan harian menjadi medan penderitaan yang tiada penghujung.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama Sukarelawan melaungkan takbir ketika sidang media Misi Bantuan Kemanusian 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0 di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA 1), Sepang pada 6 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dalam konteks ini, Gaza menjadi simbol penderitaan kemanusiaan yang paling parah - mereka terkepung, kekurangan bekalan asas, dan sering menjadi sasaran serangan.

Dari sudut al-Quran, kewajipan membantu golongan yang tertindas adalah suatu tuntutan yang jelas. Allah SWT berfirman:

“Dan mengapa kamu tidak berperang pada jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah dari kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak yang berdoa: ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya’” (Surah An-Nisa’: 75)

Ayat ini menegaskan bahawa pembelaan terhadap golongan tertindas adalah satu tanggungjawab jama’ie umat Islam. Bantuan kemanusiaan kepada Gaza, dalam konteks ini, adalah satu bentuk jihad kemanusiaan yang menepati tuntutan syarak.

Hadis Nabi SAW juga menguatkan prinsip solidariti ini. Sabda Baginda:

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam kasih sayang, belas kasihan dan simpati sesama mereka adalah seperti satu tubuh; apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasai sakit dengan berjaga malam dan demam” (Riwayat Muslim)

Hadis ini menggambarkan kesatuan umat Islam yang tidak boleh dipisahkan oleh sempadan geografi. Kesakitan rakyat Gaza adalah kesakitan umat Islam seluruhnya, dan oleh itu, bantuan yang dihulurkan adalah manifestasi iman dan ukhuwah.

Dalam kerangka Maqasid Syariah, misi bantuan ke Gaza memenuhi beberapa objektif utama syariah. Antaranya ialah prinsip memelihara nyawa, yang menjadi keutamaan tertinggi. Bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas adalah usaha langsung untuk menyelamatkan nyawa yang terancam.

People take part in a protest in solidarity with Palestinians in Gaza on the second anniversary of the October 7, 2023, conflict, outside the United States Embassy in Jakarta, Indonesia, on October 7, 2025.

Selain itu, ia juga berkait dengan prinsip memelihara harta, iaitu apabila bantuan kewangan dan material disalurkan untuk membantu mangsa membina semula kehidupan mereka.

Bahkan, dalam konteks yang lebih luas, ia juga menyumbang kepada prinsip memelihara agama, kerana membantu umat Islam yang ditindas adalah sebahagian daripada tanggungjawab keagamaan.

Dari sudut Usul al-Fiqh, terdapat beberapa kaedah yang menyokong keperluan misi ini. Antaranya ialah kaedah 'kemudaratan mesti dihilangkan'. Penderitaan yang dialami oleh rakyat Gaza merupakan satu bentuk mudarat yang besar, dan oleh itu, segala usaha untuk mengurangkannya adalah dituntut.

Selain itu, kaedah 'sesuatu yang tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib' juga terpakai. Jika membantu saudara seagama yang tertindas adalah wajib, maka menyediakan saluran bantuan seperti misi kemanusiaan juga menjadi wajib.

Kepimpinan negara

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua misi ini turut membawa makna strategik. Ia menunjukkan bahawa isu Palestin bukan hanya tanggungjawab individu atau NGO, tetapi turut dipikul kepimpinan negara.

Ini selari dengan konsep wilayah dalam Islam, yang mana pemimpin bertanggungjawab menjaga kebajikan umat, bukan sahaja dalam sempadan negara, tetapi juga dalam konteks umat Islam global.

Lebih daripada itu, misi ini juga berperanan sebagai simbol penentangan terhadap kezaliman. Dalam Usul al-Fiqh, terdapat prinsip 'menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran'.

Pencerobohan dan penindasan adalah kemungkaran yang nyata, dan usaha membantu mangsa serta menyuarakan bantahan terhadap kezaliman adalah sebahagian daripada pelaksanaan prinsip ini.

Namun, perlu difahami bahawa bantuan kepada Gaza bukan hanya bersifat reaktif, tetapi juga proaktif. Ia bukan sekadar memberi makan kepada yang lapar atau merawat yang sakit, tetapi juga membina harapan, mengukuhkan semangat, dan menunjukkan bahawa mereka tidak bersendirian.

Dalam dunia yang sering didominasi oleh kepentingan politik dan ekonomi, tindakan kemanusiaan seperti ini menjadi suara moral yang penting.

Kesimpulannya, misi bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui Global Sumud Flotilla 2.0 adalah satu usaha yang selari dengan tuntutan agama dan nilai kemanusiaan sejagat.

Ia berasaskan prinsip al-Quran dan hadis, disokong oleh Maqasid Syariah, dan diperkukuhkan oleh kaedah Usul al-Fiqh.

Dalam menghadapi tragedi yang berpanjangan di Palestin, umat Islam tidak boleh berdiam diri. Sebaliknya, mereka perlu terus memainkan peranan aktif dalam membantu, membela dan menyokong saudara-saudara mereka yang tertindas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619