Malaysia gesa tangguh perjalanan ke Asia Barat

7 Apr 2026, 1:07 PM
Malaysia gesa tangguh perjalanan ke Asia Barat

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Malaysia menggesa rakyatnya mengekalkan tahap kewaspadaan dan menangguhkan perjalanan tidak penting ke kawasan yang dilanda konflik di Asia Barat ketika Kementerian Luar memantau rapi situasi keselamatan yang semakin meruncing di rantau itu.

Ia turut menggesa rakyat Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air digesa untuk mendapatkan tiket penerbangan komersial dengan kadar segera sementara pilihan ini masih tersedia, memandangkan penutupan ruang udara yang tidak dapat diramalkan.

Memandangkan konflik masih berterusan dan landskap keselamatan terus merosot, didorong oleh retorik yang semakin meningkat serta risiko serangan balas yang semakin hampir, kementerian itu menyatakan fokusnya kekal terhadap keselamatan, perlindungan dan kebajikan rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan melalui kawasan terjejas.

"Pada masa ini, kementerian mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia berdaftar yang dihubungi kekal selamat, dan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkandas," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian Luar menyatakan bahawa Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan pada 5 Mac, yang menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke negara yang terkesan dengan konflik, kekal berkuat kuasa sepenuhnya.

Ia menyatakan bahawa perwakilan diplomatik Malaysia turut melaporkan bahawa ruang udara di beberapa negara, termasuk Bahrain, Iran, Iraq, Kuwait dan Yaman, kekal ditutup kepada penerbangan komersial.

Bagaimanapun, operasi penerbangan komersial yang terhad telah disambung semula di Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Lubnan, Qatar, dan Syria. Ruang udara di Arab Saudi, Oman, dan Turkiye kekal dibuka dan beroperasi sepenuhnya, tambahnya.

"Rakyat Malaysia yang memilih untuk kekal di rantau tersebut mesti mengekalkan tahap kewaspadaan tertinggi.

"Situasi keselamatan adalah sangat tidak menentu dan boleh meruncing pada bila-bila masa dengan amaran yang singkat atau tanpa sebarang amaran. Warganegara Malaysia yang memilih untuk terus berada di rantau berkenaan wajar patuhi sepenuhnya arahan keselamatan serta sekatan pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan negara tuan rumah," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata ia akan terus memantau situasi itu secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini mengikut keperluan.

Bagi bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Bahagian Konsular Kementerian Luar di talian +603-8887 4597 / +603-8887 4769 / +603-8887 4264 (waktu pejabat) atau melalui e-mel di bkrm@kln.gov.my.

Bagi kecemasan di luar waktu pejabat, mereka boleh menghubungi talian panas di +603-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619