MB zahir takziah atas pemergian suami ADN Meru

7 Apr 2026, 7:41 AM
MB zahir takziah atas pemergian suami ADN Meru

SHAH ALAM, 7 APRIL: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid atas pemergian suami beliau, Allahyarham Abu Bakar Din.

Beliau berkata pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang dirasai seluruh keluarga dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Innalillahi wainnailaihi rojiun. Saya merakamkan ucapan takziah kepada Mariam Abdul Rashid atas pemergian suami beliau, Allahyarham Abu Bakar Din.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata sokongan Allahyarham kepada isteri dan anak-anak merupakan faktor penting yang mendorong kejayaan mereka, khususnya dalam arena politik dan kepimpinan masyarakat.

“Allahyarham Abu Bakar Din adalah tulang belakang dan penyokong pemerkasaan wanita yang menjadi pemangkin kepada isteri dan anakanda untuk melangkah jauh dalam kepimpinan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anfaal turut menzahirkan takziah kepada keluarga Mariam, termasuk anakanda mereka Masturah Abu Bakar yang juga Pegawai Penasihat Dasar Pejabat EXCO Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu pula menyifatkan Allahyarham sebagai pendamping setia yang sentiasa memberikan sokongan dan kekuatan kepada isterinya sepanjang berkhidmat kepada masyarakat.

“Allahyarham sentiasa menjadi tulang belakang, sumber kekuatan dan pendamping setia ketika isterinya berkhidmat kepada masyarakat,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Mariam memaklumkan suaminya menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 tengah malam tadi.

Jenazah diuruskan hari ini sebelum dibawa ke kediaman keluarga di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Sempak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619