Pengguna sambut cadangan kongsi kereta e-panggilan, gesa aspek keselamatan diperkukuh

6 Apr 2026, 1:00 AM
Pengguna sambut cadangan kongsi kereta e-panggilan, gesa aspek keselamatan diperkukuh
Pengguna sambut cadangan kongsi kereta e-panggilan, gesa aspek keselamatan diperkukuh

SHAH ALAM, 6 APR: Orang ramai menyambut baik cadangan kerajaan untuk membenarkan konsep perkongsian kenderaan (carpool) melalui platform e-panggilan susulan peningkatan kos bahan api akibat konflik Asia Barat, namun menggesa langkah keselamatan diperkukuh bagi melindungi penumpang.

Walaupun inisiatif itu dilihat mampu mengurangkan kos perjalanan dan kesesakan lalu lintas, aspek keselamatan penumpang perlu kekal sebagai keutamaan.

Juruukur tanah Azmil Hisham, 45, berkata cadangan kongsi kereta - sama ada melibatkan kenderaan persendirian atau perkhidmatan e-panggilan - merupakan langkah positif ke arah meningkatkan mobiliti dan kecekapan, terdapat kebimbangan keselamatan apabila penumpang berkongsi perjalanan dengan individu tidak dikenali.

Keadaan aliran trafik di Lebuhraya Persekutuan bergerak lancar ketika tinjauan Media Selangor ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 22 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Proses pendaftaran dan pengesahan yang lebih ketat diperlukan supaya platform e-panggilan dapat menyimpan rekod tepat sekiranya berlaku sebarang insiden,” katanya kepada Media Selangor.

Bagaimanapun, Azmil berharap kerajaan dapat menggalakkan syarikat e-panggilan memperkenalkan ciri kongsi kereta dalam masa terdekat sebagai pilihan kepada pengguna.

Pada Selasa lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan terbuka untuk membenarkan perkhidmatan kongsi kereta e-panggilan bagi mengurangkan kos perjalanan harian dan meningkatkan kecekapan pengangkutan susulan tekanan tenaga global yang semakin meningkat.

Pelaksanaan itu membolehkan beberapa penumpang berkongsi satu perjalanan dan berkongsi caj tambang, berbanding model sedia ada yang menumpukan kepada seorang penumpang bagi setiap kenderaan, sekali gus meningkatkan kos perjalanan.

Aliran trafik di Lebuhraya Cheras Kajang, Kajang. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR

Peniaga Mutoharah Yasin, 38, berkata konsep kongsi kereta mampu membantu orang ramai menangani peningkatan kos pengangkutan dan amat praktikal bagi perjalanan jarak dekat.

“Bagi memastikan keselamatan, mungkin penumpang boleh berkongsi lokasi secara langsung dengan ahli keluarga supaya pergerakan mereka dapat dipantau,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga berusia 50 tahun yang mahu dikenali sebagai Amonnawi berkata perkhidmatan kongsi kereta lebih berkesan apabila penumpang bergerak dari kawasan dan destinasi yang sama, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api.

“Contohnya, rakan sekerja dari kawasan sama pergi bekerja bersama-sama,” katanya sambil mengakui penyelarasan perjalanan mungkin sukar memandangkan penumpang tinggal di lokasi berbeza dan mempunyai hala tuju berlainan.

Amonnawi turut bersetuju penumpang kongsi kereta perlu berkongsi butiran perjalanan dengan keluarga atau rakan bagi tujuan keselamatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619