SHAH ALAM, 4 APRIL: Penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) yang lahir pada April hingga Jun boleh menebus baucar hari lahir masing-masing sehingga 30 Jun ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata penerima digalakkan hadir ke pusat khidmat mengikut bulan kelahiran bagi melancarkan urusan penebusan.
"Langkah ini penting bagi mengelakkan kesesakan serta mengurangkan masa menunggu di pusat khidmat.

"Jika ada ahli keluarga yang lahir dalam tempoh ini, orang ramai digalakkan memberitahu mereka kerana mungkin ada yang tidak menggunakan media sosial," katanya dalam kenyataan menerusi facebook.
Beliau berkata, penerima di DUN Kinrara boleh menebus baucar di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara pada hari bekerja dari 10 pagi hingga 5 petang.
SMUE dan SMIS merupakan inisiatif kebajikan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Iltizam Selangor Penyayang bagi membantu meringankan beban warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Menerusi skim itu, penerima layak menerima sumbangan termasuk baucar hari lahir serta khairat kematian untuk waris berdaftar.









