Bekalan air Selangor stabil walau cuaca panas, empangan capai 80 peratus

4 Apr 2026, 2:01 AM
Bekalan air Selangor stabil walau cuaca panas, empangan capai 80 peratus

AMPANG JAYA, 4 APR: Bekalan air di Selangor kekal stabil dengan paras tujuh empangan utama berada pada tahap 80 peratus setakat ini, meskipun berdepan cuaca panas.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata kestabilan itu hasil langkah awal Kerajaan Negeri sejak lima tahun lalu dalam menghadapi risiko kemarau, termasuk memastikan simpanan air di empangan dan Off River Storage (ORS) sentiasa pada tahap optimum.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor juga memantau taburan hujan serta paras air sungai. Paras sungai yang rendah boleh menyebabkan peningkatan kandungan amonia sekali gus meningkatkan risiko pencemaran air.

“Jika paras air rendah, ia akan menyebabkan pencemaran dengan peningkatan tahap ammonia. Pemantauan juga untuk memastikan sektor pertanian tidak terjejas sepanjang tempoh cuaca panas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Dewan MPAJ, malam tadi.

Pada masa sama, Izham menggesa orang ramai mengurangkan aktiviti luar serta meningkatkan pengambilan air bagi mengelakkan risiko strok haba susulan peningkatan suhu ketika ini.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri sedang menilai pelaksanaan pembenihan awan sebagai langkah tambahan menghadapi fenomena El Nino, tertakluk kepada keperluan semasa.

“Selain pembenihan awan, kita juga opsyen lain termasuk penggunaan 185 kolam takungan yang masih mempunyai kapasiti air.

“Jika perlu, kita akan memakai air kolam takungan untuk menaikkan paras ataupun untuk mencairkan sungai-sungai yang pekat ini supaya kadar ammonia dapat dikurangkan,”ujarnya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negera ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia Ambun Dindang berkata Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya dicirikan oleh pengurangan hujan serta keadaan cuaca lebih panas dan kering, terutama di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619