Selangor rangka pelan intervensi ekonomi depani krisis bekalan global

3 Apr 2026, 12:28 PM
Selangor rangka pelan intervensi ekonomi depani krisis bekalan global

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kerajaan Selangor memantau rapi perkembangan rantaian bekalan global susulan krisis semasa di Asia Barat selain merangka pelan intervensi khusus bagi menampan kesan terhadap industri serta harga barangan.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan Kerajaan Negeri tidak hanya tertumpu kepada bantuan semata-mata, sebaliknya mengambil kira risiko lebih besar melibatkan kelestarian sektor ekonomi utama.

Menurutnya, sektor industri, perdagangan dan perkhidmatan yang menjadi tunjang ekonomi negeri perlu dilindungi daripada impak krisis berkenaan.

“Dalam kerangka ini, kita bukan sahaja melihat kelompok yang memerlukan sokongan tetapi juga langkah dasar untuk memastikan kelestarian industri, perdagangan dan sektor perkhidmatan di Selangor.

“Pemantauan akan dilakukan secara teliti berasaskan data semasa termasuk indeks harga umum, bekalan makanan serta potensi kenaikan harga barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Jelas Amirudin, kesan krisis rantaian bekalan global tidak terhad kepada sektor minyak dan gas sahaja, malah turut melibatkan komoditi serta industri penting lain seperti baja, semikonduktor dan bekalan helium yang boleh memberi impak besar kepada ekonomi.

“Pemantauan dibuat secara dekat dan bukan sekadar unjuran sebaliknya berdasarkan data terkini serta input daripada agensi kerajaan, jabatan berkaitan dan pakar.

“Isnin nanti beberapa langkah akan diumumkan dan kira-kira dua minggu kemudian pula langkah susulan bagi menampan kesan krisis bekalan akan diumumkan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619