SHAH ALAM, 3 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat 17 individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan tarif elektrik di platform media sosial.
Agensi itu berkata setakat hari ini rakaman kenyataan membabitkan lapan individu sudah selesai dijalankan, termasuk lima kes berkaitan maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan tiga kes berkaitan tarif elektrik baharu.
"Sembilan lagi individu sedang dipantau selanjutnya dan akan dipanggil untuk direkodkan kenyataan mereka dalam masa terdekat.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” kata SKMM menerusi kenyataan.
SKMM berkata pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital untuk mengelirukan orang ramai dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang.
"Penyebaran maklumat sedemikian boleh menimbulkan panik dan kebimbangan dalam kalangan pengguna.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang didapati melanggar undang-undang sedia ada," katanya.







