Cawangan pertama MADANI Mart dibuka, usaha tangani kos sara hidup

3 Apr 2026, 9:02 AM
Cawangan pertama MADANI Mart dibuka, usaha tangani kos sara hidup

KUANTAN, 3 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan kedai runcit MADANI Mart cawangan pertama di negara ini di Indera Mahkota 8 (IM8) di sini, yang dilaksanakan sebagai inisiatif kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut meluangkan masa kira-kira 10 minit melawat kedai runcit berkenaan sambil diiringi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

Inisiatif MADANI Mart yang diterajui Yayasan MADANI merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai oleh rakyat, berteraskan slogan “Kedai Runcit Harga Rahmah.”

Sementara itu, Fuziah ketika ditemui pemberita berkata MADANI Mart merupakan satu pendekatan strategik yang signifikan dalam menangani cabaran kos sara hidup rakyat secara lebih menyeluruh dan bersasar.

Beliau berkata inisiatif itu tidak melibatkan pengeluaran modal daripada kerajaan sebaliknya digerakkan melalui model kerjasama strategik melibatkan sektor awam iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), operator atau pemegang lesen (swasta) dan Yayasan MADANI (sosial).

“Dalam model terdahulu, kerajaan keluar modal dan bayar untuk mengubah suai, beli stok…MADANI Mart kerajaan langsung tidak keluar modal,” katanya ketika ditanya perbezaan MADANI Mart dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Sementara itu, beliau berkata MADANI Mart membuka ruang kepada komuniti dan usahawan tempatan untuk turut serta dalam perniagaan itu.

MADANI Mart menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 640 cawangan di seluruh Malaysia, dengan matlamat memastikan setiap DUN mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619