Harga makanan global melonjak, lima juta penduduk Arab berisiko kebuluran – PBB

3 Apr 2026, 12:25 AM
Harga makanan global melonjak, lima juta penduduk Arab berisiko kebuluran – PBB

BEIRUT, 3 APRIL: Kenaikan 20 peratus harga makanan global boleh menyebabkan tambahan lima juta penduduk berpendapatan sederhana dan rendah di negara-negara Arab mengalami ketakjaminan makanan, amaran Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia Barat (ESCWA) pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam ringkasan polisi baharu, agensi itu melabelkan risiko berkenaan sebagai mendadak dan semakin meruncing, terutamanya bagi negara-negara rapuh dan terjejas akibat konflik yang amat bergantung kepada import makanan serta mempunyai kapasiti fiskal yang terhad untuk menyerap kejutan ekonomi.

Bertajuk "Conflict and its shockwaves: escalating impacts and risks for energy, water and food systems in the Arab region", laporan itu menggariskan bagaimana ketegangan serantau yang sedang berlaku mencetuskan gangguan saling berkait merentasi sektor utama, dengan kesan yang berpotensi teruk terhadap kestabilan ekonomi dan keselamatan manusia.

Menurut ESCWA, pasaran tenaga mengalami impak yang paling mendesak.

Eksport minyak negara-negara Teluk jatuh mendadak - sebanyak 75 peratus hingga 90 peratus - sejak bermulanya konflik Iran-AS-Israel pada 28 Feb, manakala harga minyak melonjak melebihi US$112 setong, sebahagiannya didorong oleh gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Lonjakan kos pengangkutan dan insurans yang menyusul kemudiannya telah menyemarakkan inflasi serta melebarkan defisit belanjawan di seluruh rantau itu.

Keselamatan air turut berdepan ancaman yang semakin meningkat. Hampir 40 juta penduduk di negara-negara Teluk bergantung kepada air tawar daripada proses penyahgaraman yang bersumberkan air Teluk, menyebabkan mereka terdedah kepada potensi kerosakan infrastruktur tenaga dan penyahgaraman atau pencemaran akibat konflik.

ESCWA memberi amaran bahawa sebarang gangguan berpanjangan boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan dengan pantas.

Sistem makanan yang sedia tertekan kini menghadapi tekanan tambahan memandangkan rantau itu mengimport sebahagian besar bijirin dan mengekalkan simpanan terhad - yang biasanya hanya meliputi penggunaan untuk tempoh lebih sedikit daripada tiga bulan.

"Angka-angka ini memerlukan tindakan serantau yang segera dan terselaras bagi melindungi rantaian bekalan kritikal," kata Pemangku Setiausaha Eksekutif ESCWA, Mourad Wahba, sambil menggesa langkah-langkah seperti membina simpanan strategik, mempelbagaikan laluan perdagangan dan melabur dalam infrastruktur yang lebih berdaya tahan.

Beliau memberi amaran bahawa tanpa campur tangan segera, kesan berganda daripada konflik berkenaan boleh memburukkan lagi kemiskinan, meningkatkan keresahan sosial di negara-negara rapuh dan membantutkan kemajuan pembangunan di seluruh rantau itu.

Laporan terdahulu menganggarkan bahawa ekonomi Arab boleh kerugian sehingga US$150 bilion dalam nilai pengeluaran dalam tempoh hanya satu bulan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619