Dunia hari ini berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi yang semakin menghimpit, seperti kenaikan kos sara hidup, inflasi dan krisis global memaksa setiap individu berfikir sebelum membelanjakan setiap sen.
Namun bagi seorang muslim, pengurusan kewangan bukan sekadar urusan angka; ia adalah amanah dan sebahagian daripada ibadah. Islam menyediakan kerangka yang seimbang, iaitu menggabungkan disiplin diri, tawakal, dan kebijaksanaan yang berpaksikan wahyu Ilahi.
Al-Quran tidak mengajar kita menjadi bakhil, tetapi melarang keras pembaziran (tabzir). Sikap berlebihan dalam berbelanja disifatkan sebagai amalan syaitan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 26–27:
“Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan…”
Dalam menghadapi kesempitan, Al-Quran membimbing kita kepada konsep iqtisad (kesederhanaan). Allah memuji hamba-Nya yang apabila berbelanja, tidak melampaui batas dan tidak pula kedekut, bahkan mengambil jalan pertengahan (Surah Al-Furqan: 67).
Berjimat dalam Islam bukan bererti menahan diri secara melampau, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya, iaitu mendahulukan keperluan (dharuriyyat) berbanding keinginan (kamaliyyat).
Rasulullah SAW merupakan qudwah terbaik dalam mengurus sumber. Baginda menegaskan bahawa kekayaan sebenar bukan terletak pada banyaknya harta, tetapi pada kekayaan jiwa dan rasa syukur.
Dalam hadis riwayat Ahmad, Baginda bersabda: “Tidak akan jatuh fakir orang yang bersikap hemat.” - Ahmad (4269)
Walaupun status hadis ini adalah lemah, tetapi kandungan pesanannya adalah baik dan bertepatan dengan konsep ajaran Islam; ia memberi isyarat bahawa sikap berjimat adalah benteng daripada kemiskinan.
Dalam waktu sukar, Nabi SAW juga mengajar agar kita melihat kepada mereka yang lebih susah dalam urusan dunia agar lahir rasa syukur dan terhindar daripada keinginan mengejar gaya hidup di luar kemampuan.
1. Strategi Nabi Yusuf
Kisah Nabi Yusuf AS dalam Surah Yusuf adalah panduan unggul dalam pengurusan krisis ekonomi. Tafsiran Baginda terhadap mimpi Raja Mesir menggambarkan kitaran ekonomi, tujuh tahun kemakmuran diikuti tujuh tahun kemarau.
Strategi yang diajar Nabi Yusuf AS itu meliputi perancangan jangka panjang, iaitu dengan memaksimumkan hasil ketika musim subur dan penjimatan berdisiplin, iaitu menggunakan hanya sedikit daripada hasil tuaian serta simpanan strategik, iaitu menyimpan lebihan untuk menghadapi masa sukar.
Pengajaran utamanya jelas: waktu senang bukan untuk berlebihan, tetapi untuk bersedia. Berjimat ketika lapang adalah kunci kelangsungan ketika sempit.
2. Menjaga harta
Salah satu prinsip utama Maqasid Syariah ialah Hifz al-Mal (memelihara harta). Harta dalam Islam ialah amanah yang menjadi tunjang kehidupan, maka ia wajib diurus dengan bijaksana.
Amalan berjimat menepati maqasid ini kerana, dapat menjamin kelangsungan hidup yang meliputi keperluan asas keluarga terpelihara; Mengelakkan beban hutang, khususnya hutang yang membawa kepada riba; Menyokong keadilan sosial seperti membuka ruang untuk zakat dan sedekah.
3. Menyusun keutamaan
Dalam situasi kewangan yang terhad, Islam menyediakan panduan melalui kaedah fiqh dan Fiqh al-Awlawiyyat (fiqh keutamaan).
Antara kaedah yang relevan, seperti kesukaran membawa kepada kemudahan, dan darurat mengharuskan yang dilarang, dalam batas tertentu.
Secara praktikal, keutamaan perbelanjaan hendaklah didahulukan perkara dharuriyyat (keperluan asas), seperti makanan, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan.
Kemudiannya adalah hajiyyat (keperluan pelengkap), seperti memudahkan kehidupan, tetapi tidak kritikal. Kemudiannya adalah tahsiniyyat (kemewahan), iaitu bersifat tambahan yang wajar diketepikan ketika sukar.
4. Berjimat dengan jiwa yang tenang
Berjimat cermat bukan tanda kesempitan jiwa, tetapi lambang ketaatan dan kebijaksanaan. Ia adalah ibadah yang menzahirkan syukur terhadap nikmat Allah SWT.
Dengan meneladani pendekatan Nabi Yusuf AS, iaitu merancang ketika senang dan berdisiplin ketika sukar; kita bukan sahaja mampu bertahan, malah berpotensi bangkit lebih kuat.
Akhirnya, harta hanyalah alat, bukan matlamat. Keberkatan tidak terletak pada banyaknya, tetapi pada kecukupan yang membawa ketenangan dan ketaatan kepada Allah SWT.








