SHAH ALAM, 2 APR: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menyediakan bekalan barangan asas pada harga murah akan diperluas dalam masa terdekat bagi memudahkan orang ramai membeli keperluan.
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata langkah itu bertujuan memastikan bekalan makanan mencukupi ekoran konflik di Asia Barat yang dijangka membawa kepada kenaikan harga barangan.

Menurut beliau lagi, pihaknya turut merancang untuk membuka lebih banyak Pasar Raya Ehsan Mart dan pusat lelongan sebagai usaha memperkukuh serta menjamin rantaian bekalan makanan.
“Ketika ini, JER diadakan dua kali sebulan di setiap Dewan Undangn Negeri. Kita bercadang menambah kekerapan kepada tiga atau empat kali sebulan supaya orang ramai lebih mudah mendapatkan akses barangan keperluan pada harga rendah.
“Ini sebahagian usaha memastikan keterjaminan makanan. Kita mungkin perlu memperluas semua inisiatif sedia ada," katanya kepada Media Selangor.
Ir Izham berkata program tersebut menawarkan jualan 12 produk makanan utama antaranya beras, ayam dan telur selain makanan serta keperluan lain pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Dengan sumber protein, karbohidratnya semua ada. Sumber makanan asas memang dalam 12 produk utama. Untuk produk lain, walaupun tiada subsidi, namun dijual lebih murah antara 10 peratus hingga 30 peratus,” katanya.
Beliau menyatakan rancangan itu pada peringkat akhir sebelum dimuktamad sekali gus memudahkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menguruskannya sekali gus memenuhi permintaan.
“Akan ada taklimat kesan akibat perang kepada sektor ekonomi. Dari situ, kita akan nampak gambaran lebih luas dan cara macam mana beralih ke depan. Yang pasti, isu makanan dan pertanian memang terkesan,” katanya.

Sejak diperkenal hampir empat tahun, JER cetusan idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memanfaat jutaan rakyat yang memperoleh penjimatan antara 30 peratus hingga hampir 50 peratus.
Puluhan juta ringgit diperuntuk untuk JER sejak tahun 2022 melalui kos RM12 juta sebelum naik kepada RM13 juta pada tahun berikutnya. Nilai subsidi bertambah kepada RM16.4 juta pada 2024.
Menjual enam produk utama pada peringkat awal iaitu ayam, ikan, daging, beras, minyak dan telur, produk JER ditambah kepada 12 produk keperluan lain mulai tahun lalu antaranya bihun, tepung, sardin, biskut selain lampin bayi pakai buang dan sabun pencuci.









