Kebakaran sampah haram di Kampung Serdang terkawal, dua titik panas dikesan

2 Apr 2026, 3:32 AM
Kebakaran sampah haram di Kampung Serdang terkawal, dua titik panas dikesan

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kebakaran longgokan sampah domestik haram di Batu 14, Kampung Serdang berjaya dikawal susulan tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dengan bantuan beberapa agensi.

JBPM Selangor memaklumkan, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 11.33 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan longgokan sampah domestik haram dengan keluasan kira-kira 10 x 40 kaki persegi dan dua titik panas dikesan di lokasi kejadian.

"Pasukan tiba di lokasi kira-kira 27 minit kemudian selepas menempuh jarak sejauh 24 kilometer," katanya dalam kenyataan.

Anggota bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran longgokan sampah haram di Batu 14, Kampung Serdang. Foto Facebook JBPM Selangor

Pengarah JBPM Selangor, Dato' Wan Md Razali Wan Ismail turut hadir meninjau operasi bagi memastikan keadaan terkawal serta kelancaran gerak kerja di lokasi.

Menurut jabatan itu lagi, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua pancutan air sepanjang 300 kaki dengan bantuan pam angkut jenis GP885 daripada agensi Pantas Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang menggunakan sumber air terbuka.

"Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I selaku Komander Operasi dengan kekuatan seramai 11 anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), selain turut dibantu agensi lain termasuk Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan SUK Selangor," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619