SHAH ALAM, 30 MAC: Universiti Selangor (UNISEL) melaksanakan aturan kerja anjal berasaskan hasil (AKABAH) sebagai langkah memodenkan budaya kerja, dengan penekanan kepada prestasi berbanding kehadiran fizikal di pejabat.
Inisiatif yang bermula 1 September 2025 itu melibatkan lebih 300 staf akademik pada fasa pertama sebelum diperluas kepada jabatan pentadbiran mengikut kesediaan.
Menurut kenyataan UNISEL, pelaksanaan AKABAH memberi fokus kepada peningkatan produktiviti melalui penilaian berasaskan hasil kerja, di samping memperkukuh keseimbangan kehidupan dan kerjaya serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar.
“Keberadaan fizikal di pejabat bukan lagi satu-satunya ukuran kecemerlangan, sebaliknya keupayaan mengurus masa dan menyesuaikan diri dengan teknologi menjadi faktor utama,” menurut kenyataan itu.
UNISEL turut memperuntukkan dua geran penyelidikan khas bernilai lebih RM15,000 bagi mengkaji impak pelaksanaan inisiatif berkenaan secara menyeluruh.
Langkah itu dilihat selari dengan usaha kerajaan Persekutuan dan negeri Selangor dalam menggalakkan fleksibiliti tempat kerja bagi meningkatkan produktiviti, selain menjadikan universiti tersebut sebagai rujukan dalam amalan kerja anjal di peringkat lebih luas.








