Pemandu mabuk rempuh penunggang motosikal hingga maut direman empat hari

30 Mac 2026, 3:32 AM
Pemandu mabuk rempuh penunggang motosikal hingga maut direman empat hari

KLANG, 30 MAC: Seorang lelaki yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di sini, semalam direman empat hari.

Perintah tahanan reman sehingga Khamis terhadap suspek berumur 20-an itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat selepas suspek dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Suspek yang hadir memakai baju-T berkolar berwarna putih dan berseluar pendek kelabu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey memaklumkan seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam nahas di Jalan Raya Barat.

Beliau berkata insiden kira-kira 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, seorang lelaki berusia 30-an, tercampak ke atas bumbung kereta lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Honda City dipandu suspek menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya serta dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.

Perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia.

Rakaman video kemalangan itu turut tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta dipandu laju memotong garisan berkembar dan merempuh sebuah motosikal sehingga mengakibatkan penunggangnya melambung sebelum tercampak ke atas kenderaan lain.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619